
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kemaraan wakil Malaysia ke separuh akhir selepas menyingkirkan pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.
Dalam suku akhir tersebut, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan straight set ke atas gandingan ke-41 dunia itu 21-16, 21-8 dalam masa 38 minit di SJF Bank Arena.
Kejayaan itu menemukan Aaron-Wooi Yik dengan beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di separuh akhir, esok.
Wooi Yik berkata, berdepan beregu Jepun yang memiliki sistem pertahanan yang bagus, mereka perlu bijak memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
“Kami memang tak bagi banyak peluang kepada mereka dan persembahan kami juga baik sewaktu set pertama,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Aaron pula memberitahu, dia dan Wooi Yik tidak pernah bertemu pasangan Jepun itu sebelum ini dan mereka hanya fokus kepada permainan sendiri.
“Selepas beberapa bulan tidak beraksi bersama, saya rasa kemaraan ke separuh akhir, esok, merupakan kepulangan yang amat bermakna buat kami berdua,” ujarnya.
Bagaimanapun, impian untuk menyaksikan satu lagi beregu Malaysia mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila gandingan No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd tewas kepada pasangan No. 2 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 21-18, 18-21, 15-21 dalam masa 55 minit.
Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kedua diberi tentangan sengit sebelum menang ke atas pasangan No. 18 dunia, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 14-21, 21-17, 21-11 dalam masa 56 minit.
Kejayaan tersebut membuka peluang kepada gandingan No. 5 dunia itu melebarkan rekod pertemuan ke atas beregu India tersebut menjadi 8-2.
Pada separuh akhir, Pearly-Thinaah akan menghitung pertemuan dengan beregu muda China, Bao Li Jing-Cao Zi Han yang berada di tangga ke-30 dunia.
Turut mara ke separuh akhir, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang mengejutkan gandingan No. 18 dunia, Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun 21-15, 24-22 dalam masa 44 minit.
Beregu profesional itu bakal berdepan pasangan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, esok. – UTUSAN
The post Aaron-Wooi Yik iringi dua lagi wakil Malaysia ke separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.






