Terbuka Denmark: Pearly-Thinaah tamatkan penantian 18 tahun

16 Oct 2026 • 9:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Terbuka Denmark: Pearly-Thinaah tamatkan penantian 18 tahun

KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Denmark sekali gus menamatkan penantian 18 tahun Malaysia bagi kemaraan ke kelompok empat terbaik acara itu.

Pasangan No. 5 dunia itu terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan beregu India, Gayatri Gopichand Pullela-Treesa Jolly yang menghuni ranking ke-18 dunia, menerusi kemenangan 14-21, 21-17, 21-11 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 55 minit di Odense, hari ini.

Pearly-Thinaah pada awalnya bergelut dengan beberapa kesilapan sendiri sebelum bangkit mengawal permainan, malah berjaya mengatasi defisit 10-14 pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas pasangan India berkenaan kepada lapan kemenangan daripada 10 perlawanan.

Menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir ialah beregu China, Bao Li Jing-Cao Zi Han yang berada di ranking ke-30 dunia dengan pasangan negara itu kini memburu gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meneruskan kejutan apabila melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito, 21-15, 24-22 dalam tempoh 44 minit.

Pang Ron-Pei Jing yang berada di ranking ke-51 dunia membuktikan kemenangan ke atas pasangan berstatus lebih tinggi sebelum ini bukan kebetulan apabila menyingkirkan gandingan Jepun yang menghuni ranking ke-18 dunia itu.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan mereka mara ke separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Super 750 buat kali kedua selepas Terbuka China bulan lalu, apabila muncul naib juara.

Bagaimanapun, kemaraan Malaysia tidak dapat diteruskan oleh beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas mereka tewas kepada pilihan kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi suku akhir.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang turun selaku pilihan keenam memulakan perlawanan dengan baik apabila mengatasi pasangan China itu 21-18 pada set pertama.

Namun, mereka gagal memanfaatkan peluang untuk menamatkan saingan dalam dua set apabila tewas 18-21 pada set kedua selepas lawan meraih tiga mata berturut-turut ketika kedudukan terikat 18-18.

Dalam set penentuan, Liang-Wang terus menguasai permainan untuk menoktahkan kemenangan 21-15 selepas pertarungan selama 55 minit, sekali gus menamatkan kemaraan Sze Fei-Nur Izzuddin di suku akhir. KOSMO! ONLINE

The post Terbuka Denmark: Pearly-Thinaah tamatkan penantian 18 tahun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved