
KUALA LUMPUR – Gandingan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan mereka masih mampu memberi saingan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Denmark selepas menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita, sebentar tadi.
Kemenangan 21-16, 21-18 di Jyske Bank Arena, Odense itu cukup bermakna buat bekas juara dunia berkenaan yang kembali bergandingan selepas beberapa bulan membawa haluan bersama pasangan berbeza.
Aaron-Wooi Yik mengakui cabaran Okamura-Yamashita bukan mudah, terutama corak permainan bertahan dan serangan balas yang menjadi kekuatan beregu Jepun itu.
“Mereka mempunyai pertahanan yang sangat baik dan corak permainan mereka banyak bergantung pada serangan balas. Saya rasa kami bermain dengan baik pada set pertama dan tidak memberi banyak peluang kepada mereka,” kata Wooi Yik kepada BWF.
Menurutnya, meskipun terdapat beberapa kesilapan mudah, mereka berjaya mengekalkan kawalan permainan untuk memastikan kemenangan dalam dua set langsung.
Aaron pula berkata, pendekatan utama mereka ketika berdepan pasangan yang belum pernah ditemui itu adalah kekal dengan perancangan sendiri dan memberi tumpuan kepada tugas di gelanggang.
“Ini kali pertama kami bermain menentang pasangan ini. Kami hanya meneruskan permainan sendiri dan fokus kepada apa yang perlu dilakukan di gelanggang,” katanya.
Namun, cabaran lebih getir menanti Aaron-Wooi Yik apabila mereka dijadual bertemu pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae, yang juga pasangan No. 1 dunia, bagi merebut tempat ke final.
Pertemuan itu turut mengimbau aksi Kejohanan Dunia tahun ini apabila Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan Korea tersebut di separuh akhir sebelum tewas kepada wakil China, Liang Weikeng-Wang Chang dalam perlawanan akhir.
Kedua-dua pasangan Korea dan Malaysia sudah bertemu lima kali, dengan Aaron-Wooi Yik menang dua kali, sekali gus menjadikan aksi separuh akhir ini ujian penting buat gandingan negara yang kembali bersatu. KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Denmark: Aaron-Wooi Yik uji No. 1 dunia appeared first on Kosmo Online.




