
KUALA LUMPUR – Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan belum mempunyai jawapan sama ada bersedia bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pun sebaliknya.
Ab Ghani menjelaskan, ketika ini beliau masih lagi membuat pertimbangan dan keutamaannya ketika ini adalah untuk pastikan Liga Malaysia musim 2026/27 bakal berjalan lancar.
“Saya dimaklumkan oleh jawatankuasa pertandingan, (saya) layak untuk bertanding presiden (FAM). Tetapi saya masih mempertimbangkan mengenai perkara itu sebab kami di MFL juga sedang bersedia untuk memulakan musim baru.
“Jadi saya lebih menjurus ke arah itu terlebih dahulu, untuk memastikan bahawa saingan Liga Malaysia musim 2026-2027 akan berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Sebelum ini, Ab Ghani disebut-sebut sebagai tiga calon yang akan merebut jawatan Presiden FAM bersama Presiden Kehormat badan induk itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Ketika ini, setiap calon disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum FAM mengeluarkan senarai lengkap calon bertanding, kira-kira dua minggu sebelum pemilihan. – KOSMO! ONLINE
The post Ab Ghani belum buat keputusan appeared first on Kosmo Digital.






