Warga emas cuba curi kereta dipenjara 16 bulan 

7 Aug 2026 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Warga emas cuba curi kereta dipenjara 16 bulan 

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 61 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah cuba mencuri sebuah kereta.

Jamil Zaini membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan cuba mencuri sebuah Perodua Axia milik Sumano Marman di hadapan Kelab Golf Kinabalu, Jalan Setesen Seacom, Tanjung Aru kira-kira jam 6.35 petang pada 24 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan cubaan, tempoh pemenjaraan tidak boleh melebihi separuh daripada hukuman maksimum yang ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes pengadu yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di lokasi berkenaan menahan Jamil selepas mendapati tertuduh berada di tempat duduk pemandu Perodua Axia miliknya.

Pengadu memaklumkan kepada polis bahawa dia memerhatikan Jamil selama kira-kira 15 minit dan mendakwa tertuduh cuba membuka beberapa kenderaan yang berkunci sebelum berjaya membuka keretanya.

Susulan laporan yang dibuat polis menahan Jamil bagi membantu siasatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Dalam kes berasingan dua pemilik sebuah pusat hiburan masing-masing didenda RM4,000 atau penjara tujuh bulan kerana mengendalikan premis hiburan awam tanpa lesen yang sah.

Febronia June Fidelis, 29, dan Ruben Nadarajah, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama melakukan kesalahan itu di La Bonika Latin Bistro, Pusat Komersial Sri Kepayan kira-kira jam 10.40 malam pada 6 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 ordinan sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan sepasukan polis menyerbu premis berkenaan dan mendapati ia beroperasi tanpa lesen yang sah.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua tertuduh merupakan pemilik premis terbabit dan tiada lesen perniagaan didaftarkan dengan Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved