
JOHOR BAHRU – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cuba menyelamatkan adiknya yang diserang lima ekor anjing liar bertukar detik ngeri apabila dia sendiri kini mengalami trauma akibat kejadian itu di Kampung Tambak, Peserai, di sini, Sabtu lalu.
Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu cuba menghalau anjing berkenaan ketika melihat adiknya, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2 tahun 10 bulan, diterkam haiwan terbabit.
Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu menyebabkan anak lelakinya terganggu emosi dan beberapa kali menangis apabila teringat kembali kejadian tersebut.
“Bila saya telefon tanya, abang okey tak? Adiknya kata abang menangis.
“Mungkin bila dia hendak pejam mata pun, dia teringat kejadian itu. Saya di sini, dia di sana (Batu Pahat). Nak peluk pun tak boleh,”katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Nur Wahyuni berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya, Mohamad Hamizi Hamdan, 37, yang bekerja sebagai penyelenggara, baru bergerak menuju ke Johor Bahru untuk berniaga.
Katanya, mereka menerima panggilan daripada keluarga kira-kira pukul 7.20 pagi memaklumkan anak mereka diserang anjing sebelum segera berpatah balik ke Batu Pahat.
“Saya dan suami keluar rumah pukul 6.50 pagi dan menerima panggilan kira-kira pukul 7.20 pagi. Saya terus berpatah balik.
“Saya cukup sedih sebab kejadian itu berlaku pada hari jadi saya,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami masih belum dapat pulang ke Batu Pahat sepenuhnya kerana perlu berada di sisi Nur Haira yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
“Anak saya (abang mangsa) pun tidak makan. Saya dengan suami pun sudah tidak lalu makan,”katanya.
Nur Wahyuni berkata, Nur Haira mengalami kecederaan serius terutama di bahagian kepala dan pipi selain luka pada hampir seluruh badan.
Katanya, beberapa luka di bahagian belakang tubuh anaknya sudah dijahit selepas menjalani pembedahan pertama, manakala doktor masih memantau keadaannya sebelum meneruskan prosedur seterusnya.-KOSMO! ONLINE
The post Abang cuba selamatkan Nur Haira diserang lima anjing, kini trauma appeared first on Kosmo Digital.






