
JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan dua tahun yang parah diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu dilapor sudah sedarkan diri.
Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pemantauan dan rawatan rapi daripada pihak hospital.
“Alhamdulillah, Nur Haira sudah sedarkan diri. Kami sekeluarga bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap keadaannya terus bertambah baik.
“Tetapi perjalanannya untuk pulih masih panjang, kami serahkan semuanya kepada Allah dan berharap orang ramai akan turut mendoakan kesembuhannya,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Nur Wahyuni, dia akan terus berharap agar kesihatan anak bongsunya itu bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Doakan Nur Haira terus kuat melawan sakit dan kembali sihat seperti sedia kala. Doakan juga rawatan serta pemulihannya dipermudahkan,” katanya.
Sabtu lalu, kanak-kanak itu dilaporkan cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumah neneknya.-UTUSAN
The post Nur Haira kembali sedar, keluarga mohon doa orang ramai appeared first on Utusan Malaysia.






