JOHOR BAHRU – “Alhamdulillah, Haira sudah sedar.”
Demikian perkembangan terbaharu yang dikongsikan keluarga kanak-kanak perempuan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, yang diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada Sabtu lalu.
Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, keadaan anaknya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, meskipun Nur Haira telah sedarkan diri, kanak-kanak itu masih memerlukan pemantauan rapi dan rawatan lanjut daripada pihak hospital.
Katanya, keluarga amat bersyukur dengan perkembangan itu selepas melalui detik mencemaskan sejak kejadian berkenaan.
“Alhamdulillah, Nur Haira sudah sedarkan diri. Kami sekeluarga amat bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap keadaannya akan terus bertambah baik.
“Namun begitu, perjalanan untuk pulih masih panjang dan kami menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sehubungan itu, Nur Wahyuni memohon orang ramai agar terus mendoakan kesihatan anaknya supaya diberikan kekuatan untuk melawan kesakitan serta dipermudahkan urusan rawatan dan proses pemulihan.
“Kami mohon semua mendoakan Nur Haira agar terus kuat melawan kesakitan dan kembali sihat seperti sediakala. Doakan juga urusan rawatan serta proses pemulihannya dipermudahkan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi pada Sabtu lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Serangan tersebut mengakibatkan kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan itu mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.






