Abbe Hae, 15 individu 'bermalam' di lokap selepas hadir ke IPD Kota Bharu

LocalPolitics
18 Oct 2026 • 3:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Abbe Hae, 15 individu 'bermalam' di lokap selepas hadir ke IPD Kota Bharu
Abbe Hae (dua kanan) mendakwa beliau bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberi keterangan di IPD Kota Bharu pada Sabtu. Foto FB Abbe Hae

KOTA BHARU – Niat membantu masyarakat bertukar menjadi pengalaman bermalam di lokap apabila aktivis masyarakat, Abbe Hae mendakwa beliau bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Sabtu.

Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan mendakwa, beliau dan 15 individu berkenaan turut menjalani proses kawad cam serta pengambilan cap jari sebelum dibebaskan pada Ahad.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Ahad, beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas mereka hadir ke IPD Kota Bharu kira-kira jam 3 petang Sabtu bagi memberikan keterangan berhubung satu laporan polis yang menurutnya dibuat oleh tiga individu yang didakwanya menggajikan warga asing.

"Petang semalam selesai saja abbe meraikan tiga anak anak angkat abbe dari Machang yang berjaya memperolehi MyKid, abbe dan yang lain lain bergegas ke IPD Kota Bharu kerana dipanggil untuk memberi keterangan. Abbe sampai di IPD KB jam 3 petang.

"Selepas diambil keterangan abbe sepatutnya ke Jalan PCB (Pantai Cahaya Bulan) untuk membantu seorang warga tua yang hidupnya berteduh disebuah pondok yang sangat kecil yang tidak berdinding," katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa terpaksa bermalam di lokap bersama individu lain yang turut dipanggil memberi keterangan.

Abbe Hae memberitahu, antara individu yang bersamanya ialah Datuk Mizan daripada I Sejahtera Malaysia, Tengku Harith yang menguruskan pengurusan jenazah di Pasir Puteh serta pengasas Pusat Pemulihan Akhlak dan Dadah Manzilu Rahmah, Ayahanda Paduka Abe Aziz.

Beliau mendakwa, proses kawad cam dilakukan di sebalik cermin, manakala mereka beratur untuk dikenal pasti.

Abbe Hae meluahkan rasa terkilan dengan pengalaman itu, namun menegaskan beliau tidak menyalahkan pegawai polis yang menjalankan tugas.

Sebaliknya, beliau merakamkan penghargaan kepada pegawai bahagian jenayah IPD Kota Bharu atas layanan baik sepanjang berada di situ.

Beliau juga meminta orang ramai tidak mengecam pegawai polis yang bertugas kerana, menurutnya, mereka hanya menjalankan arahan diberikan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved