
KOTA BHARU – Sekurang-kurangnya seramai 228 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) melalui 38 operasi yang dijalankan setiap hari.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kesemua PATI itu ditahan di seluruh negara selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, lebih daripada 65,000 PATI dengan kebanyakannya terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh dicekup sejak Januari lalu hingga kelmarin melalui 11,000 operasi yang dijalankan.
“Tiga operasi dijalankan oleh pihak JIM dalam tempoh beberapa jam. Setiap jam kami akan menjalankan operasi menangkap PATI.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 511 warga asing diperiksa setiap jam dan 228 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini hari ini.
Lokman Effendi berkata, setakat ini, lebih daripada 45,000 warga asing sudah ditahan dan dihantar pulang ke negara asal mereka.
Katanya, warga asing tersebut kebanyakan bekerja di sektor pembinaan dan perladangan tanpa memiliki dokumen yang sah untuk berada di negara ini.
Menyentuh mengenai operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini, Lokman Effendi memberitahu, JIM Kelantan menahan seramai 55 daripada 57 warga Myanmar yang melakukan pelbagai kesalahan.
“Siasatan mendapati, mereka baru bekerja di kawasan tersebut dalam dua hari hingga dua tahun. Kesemua PATI ditahan di lokap JIM untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Imigresen tahan 228 PATI setiap hari appeared first on Kosmo Online.






