Abdul Azeez, dua bekas pegawai atasan Tabung Haji direman dua hari bantu siasatan kes tipu hibah

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Abdul Azeez, dua bekas pegawai atasan Tabung Haji direman dua hari bantu siasatan kes tipu hibah

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan dua bekas pegawai atasan institusi itu direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tipu berkaitan pemberian hibah TH.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad berkata perintah reman terhadap Abdul Azeez, bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas ketua pegawai kewangan kumpulan TH itu dikeluarkan Hakim Mohamad Afiq Zuber yang bertindak sebagai Majistret selepas permohonan dibuat pihak polis di Mahkamah Sesyen di sini.

“Ketiga-tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan pemberian hibah Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas prosiding reman tersebut.

Amer Hamzah berkata pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada keperluan untuk tahanan reman lanjut memandangkan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Beliau (Abdul Azeez) hadir ke Bukit Aman semalam sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak polis dan beliau sedia maklum perlu hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadapi tuduhan baharu daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Bagaimanapun, beliau tetap memberikan kerjasama sepenuhnya dan bukan seorang yang berisiko untuk melarikan diri. Apa sahaja maklumat yang diperlukan beliau telah sampaikan secara terperinci kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Selepas prosiding reman tersebut, Abdul Azeez kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH untuk bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat itu, 12 tahun lepas.

Pada 27 Ogos lepas, bekas pengerusi TH itu dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, masing-masing direman tujuh hari hingga 2 Sept bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan RCI mengenai institusi berkenaan.

Kedua-dua individu tersebut disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti kaedah keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

Laporan berkenaan turut mendapati wujudnya transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

Skop siasatan RCI meliputi penelitian terhadap isu berkaitan TH sepanjang tempoh berkenaan dengan merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved