
PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar dibebaskan daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas tempoh reman mereka berakhir.
Kedua-dua individu berkenaan dibebaskan pagi ini selepas direman sejak 27 Ogos lalu.
Menurut sumber, SPRM telah selesai merakam keterangan kedua-dua lelaki berusia 60-an itu.
Abdul Azeez yang juga seorang ahli politik dan Mohd Irwan ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 26 Ogos lalu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Sebelum ini, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH turut ditahan dan direman berhubung siasatan yang sama.
Dalam perkembangan terdahulu, SPRM menahan tujuh individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, dua pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan TH.
Siasatan SPRM itu mencakupi beberapa dakwaan berasingan, antaranya berkaitan dokumen yang mengandungi maklumat palsu, cadangan pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan serta urusan penyewaan sebuah hotel di Arab Saudi.
Kesemua tangkapan dan pembebasan terbabit merupakan sebahagian daripada siasatan lebih meluas SPRM susulan penyahklasifikasian laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan berkenaan dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu, kira-kira empat tahun selepas ia disiapkan.
Antara cadangan utama yang dikemukakan RCI ialah pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 bagi menghalang ahli politik yang masih aktif daripada dilantik sebagai anggota lembaga pengarah TH dan anak syarikatnya.
RCI turut mencadangkan supaya setiap anggota lembaga pengarah memiliki kepakaran serta pengalaman yang bersesuaian dengan peranan mereka.
Bagaimanapun, siasatan SPRM masih berjalan dan setakat ini belum ada pengumuman sama ada tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang keterangannya telah direkodkan. - Getaran, 1 September 2026






