
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, masing-masing direman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas SPRM memohon tempoh reman terhadap kedua-dua suspek sehingga 2 September.
Kedua-duanya dipercayai disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Abdul Azeez dan Mohd Irwan tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi dengan tangan bergari serta memakai pakaian lokap berwarna oren, sebelum dibawa pegawai penyiasat SPRM untuk prosiding reman.
Siasatan itu dipercayai berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.
Terdahulu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH turut direman empat hari lagi sehingga 31 Ogos bagi membantu siasatan sama.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu selepas suruhanjaya berkenaan meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Susulan laporan itu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi meneliti penemuan RCI, termasuk berkaitan pelaburan, kontrak, perjanjian, minit mesyuarat serta dokumen berhubung keputusan pelaburan TH.
SPRM sebelum ini memaklumkan sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, manakala 28 premis telah digeledah dan keterangan daripada 115 saksi dirakam.
Seramai tujuh individu, termasuk empat bekas pegawai kanan pengurusan TH, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan meliputi kemungkinan berlaku kesalahan antaranya rasuah, salah guna wang, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
RCI itu ditubuhkan susulan kebimbangan terhadap anggaran jurang RM11 bilion antara aset dan liabiliti TH serta persoalan mengenai pematuhan institusi berkenaan terhadap undang-undang berkaitan. - Getaran, 27 Ogos 2026






