
PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dibebaskan pagi ini.
Tempoh reman tujuh hari terhadap kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri itu yang bermula 27 Ogos lalu tamat hari ini.
Menurut sumber, proses mendapatkan keterangan kedua-dua individu berusia 60-an itu telah dilengkapkan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang juga bekas Pengerusi TH ditahan SPRM bagi membantu siasatan susulan pendedahan dan dapatan lporan RCI berkaitan institusi berkenaan.
Turut ditahan bagi membantu siasatan kes sama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan yang bergelar Tan Sri.
Sebelum itu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH turut ditahan dan direman SPRM berhubung siasatan yang sama.
SPRM juga sebelum ini menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun disiapkan mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara syor utama laporan itu termasuk melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi berkenaan.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya siasatan pihak berkuasa berhubung laporan RCI TH dijalankan secara menyeluruh sehingga ke ‘lubang cacing’.-UTUSAN
The post Reman bekas Pengerusi TH, Ketua Setiausaha Perbendaharaan tamat hari ini appeared first on Utusan Malaysia.





