
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada 2014.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 12 laporan polis telah diterima mengenai isu ini dan seramai 12 orang saksi telah dirakam percakapan.
“Rakaman percakapan YB Tan Sri Hadi Abdul Awang akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Masyarakat turut digesa untuk menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Abdul Hadi Awang disiasat dakwa AS tawar bantu jatuhkan BN appeared first on Kosmo Digital.






