
SHAH ALAM – Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak apabila Bersatu menolak dakwaan kedudukannya dalam gabungan itu gugur secara automatik seperti yang dinyatakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Abdul Hadi tidak mempunyai kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN, sebaliknya perkara itu hanya boleh diputuskan menerusi Majlis Presiden berdasarkan Perlembagaan PN.
Katanya, tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang menyatakan keanggotaan mana-mana parti dalam gabungan itu boleh gugur dengan sendiri.
“Kedudukan Bersatu sebagai parti anggota Perikatan Nasional hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan Perikatan Nasional.
“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Justeru, Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah,” katanya hari ini.
Mohamed Azmin berkata, kenyataan semberono Abdul Hadi menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN.
Malah katanya, tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai lalu yang membuat keputusan pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan PN.
“Justeru, Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini.
“Perikatan Nasional yang dikuasai Pas tidak lagi menjunjung Perlembagaan Perikatan Nasional yang mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik bertindak secara sembrono dan tidak demokratik,” tegasnya.
Media hari ini melaporkan dakwaan Abdul Hadi bahawa kedudukan Bersatu di dalam PN tergugur dengan sendiri setelah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu. – KOSMO! ONLINE
The post Abdul Hadi tiada kuasa veto tentukan nasib Bersatu dalam PN appeared first on Kosmo Digital.





