Keanggotaan Bersatu dalam PN tidak tergugur

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keanggotaan Bersatu dalam PN tidak tergugur

PETALING JAYA: Keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) tidak tergugur dengan sendiri seperti dinyatakan Presiden Pas kerana perkara itu bercanggah dengan Perlembagaan gabungan berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota boleh tergugur secara automatik.

Katanya, kedudukan Bersatu sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan gabungan itu.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN. Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah.

“Presiden Pas tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN. Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN.

“Setiap parti anggota PN mempunyai hak yang termaktub di bawah Fasal 7 Perlembagaan gabungan itu termasuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Badan Perhubungan Kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, tindakan Pengerusi PN dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu juga bercanggah dengan Perlembagaan PN.

Katanya, mesyuarat berkenaan membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung perkara berkenaan.

“PN yang dikuasai oleh Pas tidak lagi menjunjung Perlembagaan PN, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, bertindak secara semberono dan tidak demokratik.

“Bersatu bertegas akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Keanggotaan Bersatu dalam PN tidak tergugur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved