
KLANG – Polis mengesahkan berlaku cubaan samun membabitkan sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariifin Aman Shah berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika cubaan samun berkumpulan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menunjukkan senjata api ketika cuba melakukan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sulaimi Alawi @ Shaari di talian 014-5719405 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menerusi 03-33762222 dan mana-mana balai polis berdekatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana menjadi sasaran penjenayah pagi ini.
Berdasarkan dua klip video yang tular termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dua suspek bersenjatakan tukul dilihat memecahkan cermin pameran, manakala seorang lagi mengacukan senjata dipercayai pistol ke arah pekerja.
Suspek bagaimanapun gagal melarikan barang kemas dan beredar dengan dua buah motosikal bersama seorang lagi rakan mereka yang menunggu di luar premis. – KOSMO! ONLINE
The post Acu pistol ketika rompak kedai emas appeared first on Kosmo Digital.






