Acuan baharu Eropah patut jadi pilihan

LocalFootball
20 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Acuan baharu Eropah patut jadi pilihan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran untuk mencuba ‘acuan’ baharu dengan mempertimbangkan jurulatih berprofil tinggi khususnya dari Sepanyoluntuk membimbing Harimau Malaya.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya selepas mencuba sentuhan jurulatih dari Korea Selatan seperti Kim Pan-gon dan Australia, Peter Cklamovski, tidak salah untuk badan induk negara itu mencari ‘angin’ baharu.

Menurut Zulakbal, kegagalan untuk menarik minat jurulatih berkelas dunia dari Jepun, Hajime Moriyasu boleh membuka ruang buat FAM meneliti lebih banyak ‘resume’ terutama dari Eropah.

Kata Zulakbal, pendekatan itu mempunyai asas tersendiri selepas melihat resepi kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berjaya di peringkat domestik dan antarabangsa apabila menggunakan tenaga pakar serta falsafah dari Eropah.

“Pelantikan jurulatih dari Sepanyol boleh menjadi antara pilihan yang dipertimbangkan bagi memastikan corak permainan skuad kebangsaan lebih serasi dengan kekuatan pemain sedia ada.

“Lebih menarik, majoriti pemain Harimau Malaya ini daripada JDT. Mungkin sesuai jika dibawa masuk jurulatih dari Sepanyol kerana ia bersesuaian dengan cara JDT bermain,” katanya.

Sebagai rekod, JDT ketika ini dibimbing oleh pengendali berprofil tinggi dari Sepanyol, Xisco Munoz yang pernah membimbing kelab Watford dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sementara itu, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) percaya FAM tidak perlu putus asa dalam misi mencari jurulatih yang mampu mengubah landskap bola sepak negara.

“Kalau boleh saya sangat suka dengan Moriyasu kerana dia jurulatih yang berprofil tinggi dan berjaya menewaskan pasukan-pasukan hebat seperti Brazil dan Jerman.

“Jika kita dapat mencari jurulatih lain setanding dia, budaya kerja yang bertaraf tinggi seperti itu akan bawa impak positif kepada Harimau Malaya,” katanya.

 

The post Acuan baharu Eropah patut jadi pilihan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved