PORT DICKSON - Selepas mendapat perhatian ramai susulan kejayaannya memperoleh keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), Fakhrul Iman Zainudin, 18, meminta orang ramai agar turut meraikan kecemerlangan rakan-rakannya di sekolah sama.
Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, anak kepada peniaga pisang goreng dan laksa itu memaklumkan terdapat enam lagi pelajar di Sekolah Menengah Agama Telok Kemang yang turut memperoleh semua A bagi 11 mata pelajaran yang diambil.
"Sebenarnya di sekolah saya ini ramai lagi yang cemerlang. Selain saya yang dapat semua 11A+, ada enam orang lagi yang dapat semua A.
"Baguslah...11A kot, banyak tu. Saya kesiankan mereka sebab nama mereka tenggelam disebabkan saya seorang saja. Ramai netizen yang hanya meraikan saya, tak meraikan mereka langsung,"katanya.
Jelasnya lagi, terdapat ramai lagi kawan-kawannya yang pandai, bukan saja memperoleh 11A, tetapi juga 10A,9A dan 8A.
Justeru, dia memohon warganet untuk turut mendoakan rakan-rakannya yang lain dan memberi pertolongan kepada mereka.
"Saya macam terkilanlah dekat situ, sebab kawan-kawan saya ramai yang pandai, ramai yang bijak.
"Jadi, saya kesiankan mereka. Saya mohon semua, doakan juga mereka, beri pertolongan kepada mereka dan beri sumbangan kepada mereka juga," katanya lagi.
Anak keempat daripada lima beradik itu turut meluahkan rasa terharu di atas ucapan tahniah dan komen positif daripada orang ramai.
**media[3480228]**
Fakhrul Iman berkata, sekolahnya melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz(KBT) yang turut mendidik pelajar menghafal al-Quran sejak dari Tingkatan Satu.
Sementara itu, di ruangan komen video tersebut, pengguna yang menggunakan nama @Faisz Dan Pancing mendedahkan yang pelajar terbabit pernah menjadi imam Tarawih di sebuah surau di Kampung Sungai Senawang, Pasir Panjang pada Ramadan lalu.
“ALLAH angkat darjat awak, sebulan awak imamkan kami di surau Sungai Sekawang sepanjang Ramadan. Esok kita jumpa di PPD PD (Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson)," tulisnya.


