
PUTRAJAYA: Wujud kelemahan dan kepincangan dalam aspek tatakelola membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap UiTM Holdings Sdn. Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, SPRM akan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap apa juga kepincangan yang ditemukan sepanjang proses siasatan.
Beliau enggan mengulas secara spesifik apa atau jumlah kepincangan tatakelola yang ditemui sepanjang proses siasatan berkenaan.
“Ya, kebiasaannya apabila kita menyiasat, tatakelola itu merupakan sebahagian daripada aspek penyiasatan kita.
“Walaupun tatakelola bukan merupakan suatu pertuduhan yang boleh dituduh di mahkamah tetapi ia merupakan suatu penambahbaikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM di sini hari ini.
Abd. Halim berkata, siasatan membabitkan UiTM Holdings hanya menjurus kepada seorang suspek iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings yang dituduh di mahkamah hari ini.
Katanya, siasatan akan diteruskan jika ada bukti baharu membabitkan individu lain.
“Penyiasatan dijalankan oleh SPRM sejak tahun 2023, kita akui penyiasatan itu agak lama dan sebagainya. Tetapi penyiasatan itu merupakan satu proses yang berterusan, dia tidak ada had masa.
“Setakat ini penyiasatan kita itu sahaja. Namun, jika terdapat bahan bukti yang baru dan sebagainya, kita akan teruskan menyiasat,” ujarnya.
Hari ini bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan peruntukan berjumlah RM37.37 juta. – UTUSAN
The post Ada kepincangan tatakelola dalam UiTM Holdings appeared first on Utusan Malaysia.






