
SHAH ALAM, 1 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan beberapa penambahbaikan tatakelola kepada UiTM Holdings Sdn Bhd susulan kepincangan yang dikesan dalam siasatan terhadap syarikat itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata penilaian aspek tatakelola sememangnya sebahagian daripada proses siasatan yang dijalankan agensi berkenaan, lapor Berita Harian.
Katanya, kelemahan tatakelola yang dikenal pasti tidak semestinya membawa kepada pertuduhan di mahkamah, sebaliknya boleh dijadikan asas untuk penambahbaikan.
“Ya, kebiasaannya apabila kita menyiasat, tatakelola itu adalah sebahagian daripada aspek penyiasatan kita.
“Adakala tatakelola itu tidak menyebabkan pertuduhan dikenakan kepada tertuduh di mahkamah, tetapi ia boleh menjadi penambahbaikan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM di Putrajaya, hari ini.
UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan sejak 2023 terhadap dakwaan penyelewengan, termasuk isu berkaitan projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang serta kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan.
Siasatan turut memberi fokus kepada beberapa isu khususnya membabitkan dana dan pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
Hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.
Abd Halim berkata SPRM akan mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan terhadap kepincangan yang dikenal pasti sepanjang proses siasatan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jenis atau jumlah kepincangan tatakelola yang ditemukan dalam siasatan itu.
Mengulas perkembangan siasatan kes berkenaan, beliau berkata setakat ini siasatan hanya menjurus kepada seorang suspek iaitu bekas CEO UiTM Holdings yang didakwa di mahkamah hari ini.
Katanya, siasatan terhadap individu lain akan diteruskan sekiranya SPRM memperoleh bukti baharu.
“Penyiasatan dijalankan oleh SPRM sejak 2023, kita akui penyiasatan itu agak lama, namun penyiasatan itu adalah satu proses yang berterusan, dia tidak ada had masa.
“Jadi untuk (kes) UiTM Holdings ini, penyiasatan kita menjurus kepada seorang suspek yang telah dituduh. Setakat ini, penyiasatan kita itu sahaja. Namun, jika terdapat bahan bukti yang baharu dan sebagainya, kita akan teruskan menyiasat,” katanya.






