

PAYA JARAS – Di sebalik kontroversi dan kenyataan mencuri perhatian di media sosial, usahawan dan pempengaruh, Diva M mempunyai cara tersendiri untuk berkongsi rezeki apabila menjadikan setiap Jumaat sebagai hari menyantuni golongan memerlukan.
Diva M atau nama sebenarnya Mohd. Muzakir bersama pasukan Diva Hair Salon baru-baru ini meluangkan masa bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan.
Bukan sekadar datang membawa sumbangan, Diva M turut menyediakan hidangan makan tengah hari dan pencuci mulut sebelum duduk makan serta beramah mesra bersama penghuni rumah kebajikan tersebut.
“Kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain.
“Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini kebetulan musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini.
“Bagi saya, tak semestinya kita perlu tunggu ada banyak baru hendak memberi. Apa yang kita ada dan mampu, kita kongsikan,” katanya.
Lebih daripada sekadar kunjungan, pengusaha Diva Hair Salon di Kota Damansara itu turut menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kesemua 112 penghuni rumah berkenaan tanpa had masa.
Menurut Diva M, penghuni hanya perlu datang ke salunnya sekiranya memerlukan perkhidmatan tersebut.
“Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun.
“Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma. Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.
Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna buat para penghuni.
“Kami berterima kasih atas kesudian Diva M dan pasukannya datang menyantuni anak-anak di sini, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama.
“Pihak kami juga menghargai tawaran beliau menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada anak-anak di bawah jagaan kami,” katanya.
Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.
Ketika ini, seramai 112 penghuni berusia antara satu hingga 17 tahun ditempatkan di rumah berkenaan, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.
Aktiviti kebajikan bukan sesuatu yang baharu buat Diva M apabila beliau bersama pasukan Diva Hair Salon sebelum ini pernah mengunjungi Rumah Seri Kenangan Cheras dan menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.
Kunjungan terbaharu itu sekali gus memperlihatkan sisi berbeza Diva M apabila kemahiran serta perniagaan salunnya turut dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan.
The post ‘Ada kesempatan, saya jadikan Jumaat hari berkongsi rezeki’ appeared first on Kosmo Digital.




