Sering dipandang serong kerana kisah silam, Diva M kongsi rezeki bersama 112 anak Rumah Kasih Harmoni - ‘Tak semestinya tunggu kaya’

8 Sep 2026 • 1:45 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Sering dipandang serong kerana kisah silam, Diva M kongsi rezeki bersama 112 anak Rumah Kasih Harmoni - ‘Tak semestinya tunggu kaya’

KISAH silam, penampilan dan perjalanan hidupnya sering menjadi perhatian, malah tidak kurang juga yang melemparkan kecaman.

Namun, daripada sibuk memikirkan apa yang orang kata, usahawan dan pempengaruh, Diva M memilih cara yang lebih dekat dengan dirinya iaitu berkongsi rezeki apabila mempunyai kesempatan.

Pemilik nama sebenar, Mohd Muzakir mengakui melakukan kebaikan bukan tentang mahu membuktikan sesuatu kepada sesiapa, jauh sekali untuk membeli penerimaan masyarakat.

Sebaliknya, ia sekadar kemampuan yang mahu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Orang boleh pandang saya macam-macam. Saya pun ada kisah silam dan saya tak boleh ubah apa yang sudah berlaku.

“Tetapi kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain,” katanya.

Terbaharu, dia bersama beberapa kakitangan Diva Hair Salon meluangkan masa bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan.

Kunjungan itu bukan sekadar datang menyerahkan sumbangan sebelum meneruskan urusan masing-masing.

Sebaliknya, Diva M membawa hidangan makan tengah hari serta pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan tersebut.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama pasukan turut berkunjung ke masjid dan rumah warga emas untuk berkongsi rezeki.

Kali ini, musim cuti sekolah pula dirasakan sebagai waktu sesuai untuk mendekati anak-anak di Rumah Kasih Harmoni.

“Tak semestinya tunggu kita kaya atau ada banyak baru hendak berkongsi. Apa yang kita mampu, kita berilah,” ujarnya.

Image from: Sering dipandang serong kerana kisah silam, Diva M kongsi rezeki bersama 112 anak Rumah Kasih Harmoni - ‘Tak semestinya tunggu kaya’

Menyediakan kemudahan

Menariknya, kebaikan yang mahu dilakukan Diva M tidak terhenti selepas hidangan selesai.

Dia turut menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada kesemua 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni di Diva Hair Salon, Kota Damansara.

Lebih bermakna, tawaran itu bukan untuk satu kunjungan sahaja.

Penghuni rumah kebajikan berkenaan boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut apabila diperlukan selagi salun berkenaan masih beroperasi dan mampu menyediakan kemudahan itu.

“Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.

Bagi Diva M, peluang untuk membantu orang lain tidak sepatutnya bergantung kepada jumlah wang yang dimiliki.

Apa yang lebih penting ialah keikhlasan untuk berkongsi mengikut kemampuan.

Dia juga sedar tidak semua orang akan melihat dirinya daripada sudut yang sama.

Namun, perkara itu tidak menghalangnya untuk meneruskan perkara yang dirasakan memberi manfaat.

“Saya tak boleh paksa orang untuk suka atau fikir baik tentang saya. Itu hak masing-masing. Apa yang penting, kalau saya ada kemampuan untuk buat sesuatu yang baik, saya buat,” katanya.

Image from: Sering dipandang serong kerana kisah silam, Diva M kongsi rezeki bersama 112 anak Rumah Kasih Harmoni - ‘Tak semestinya tunggu kaya’

Sesi ramah mesra

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab menghargai kesudian Diva M dan pasukannya meluangkan masa bersama penghuni rumah berkenaan.

Katanya, selain membawa makanan untuk dinikmati bersama, tawaran menyediakan khidmat gunting rambut secara percuma juga sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan penghuni.

Ditubuhkan pada 2007, Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.

Ketika ini, seramai 112 penghuni berusia antara satu hingga 17 tahun berada di rumah tersebut, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.

Kunjungan itu turut diisi dengan sesi ramah mesra dan fotografi sebelum Diva M, pasukannya serta penghuni menunaikan solat Jumaat.

Sebelum ini, Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon turut mengadakan aktiviti kebajikan di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan menyediakan khidmat gunting rambut percuma kepada warga emas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved