
KANGAR – Kerajaan negeri mengesan terdapat beberapa lagi rumah ibadat di Kuala Perlis, Padang Besar dan beberapa kawasan lain dibina di lokasi yang tidak dibenarkan.
Menteri Besarnya, Abu Bakar Hamzah berkata, pihak terlibat dinasihatkan supaya tampil berunding secara terus dengan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Kita tak mahu perkara seperti ini berlaku dan kita boleh beri tempoh untuk lanjutkan tindakan, tetapi sampai bila?
“Saya bagi gambaran ini supaya semua pihak berhenti membina rumah ibadat di tempat-tempat yang tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall di sini hari ini.
Menurut Abu Bakar, tindakan merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi baru-baru ini perlu dijadikan iktibar supaya pembinaan rumah ibadat dilakukan mengikut peraturan, kelulusan dan proses undang-undang yang ditetapkan.
“Dalam keadaan hari ini, kita tidak halang sekiranya pembinaan kuil mematuhi syarat dan dibuat di tempat sesuai.
“Kerajaan negeri bertindak untuk menyelesaikan isu pembinaan kuil di luar kawasan dibenarkan dan pencerobohan di tapak kuil itu sudah lama berlaku, malah notis telah diberikan tetapi mereka masih gagal berpindah,” ujarnya.
Katanya, kerajaan negeri menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, namun perkara itu perlu berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang.
Beliau berkata, mana-mana jawatankuasa rumah ibadat yang berdepan isu berkaitan tapak atau pembinaan tanpa kebenaran sewajarnya datang berbincang dengan kerajaan negeri, bukannya membiarkan masalah berlarutan sehingga tindakan penguatkuasaan diambil.-KOSMO! ONLINE
The post Ada lagi rumah ibadat dibina di kawasan tidak dibenarkan appeared first on Kosmo Digital.






