
KANGAR: Perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sah.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, notis dan perbincangan dalam soal perobohan kuil itu telah lama dilakukan namun mereka masih gagal untuk berpindah.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menghalang sekiranya pembinaan kuil tersebut mematuhi syarat dan lokasi yang sesuai bukannya pembinaan secara haram.
“Jawatankuasa rumah ibadat di sekitar negeri ini yang melakukan pembinaan secara haram dinasihatkan agar dapat berunding terus dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Tindakan perobohan kuil Veeramakaliamman adalah bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah-rumah ibadat di kawasan yang tidak dibenarkan. Kerajaan negeri tidak menghalang sekiranya pembinaan kuil dan rumah ibadat mengikut syarat yang ditetapkan.
“Perobohan itu juga sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak agar dapat mematuhi peruntukan undang-undang dan keputusan mahkamah ditetapkan. Ikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini namun agama lain juga boleh dianuti secara aman,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam satu kenyataan media mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan.
Menerusi kenyataan itu, Rayer mendakwa, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa insiden sedemikian tidak berlaku di bawah negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Abu Bakar berkata, pihak kuil atau mana-mana jawatankuasa rumah ibadat di negeri ini seharusnya berunding dengan kerajaan negeri sekiranya melakukan pembinaan secara haram.
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku, kita boleh bagi tempoh untuk lanjutkan tindakan tapi sampai bila? Saya bagi gambaran ini supaya semua pihak dapat berhenti membina rumah ibadat di tempat-tempat tidak dibenarkan.
“Selain kuil tersebut, terdapat beberapa rumah ibadat lain sekitar Kuala Perlis, Padang Besar dan beberapa lagi dikesan dibina di kawasan yang tidak dibenarkan atau secara haram.
“Saya harap isu ini jadi iktibar bukan sahaja di Perlis tapi negeri-negeri lain di mana pembinaan rumah ibadat perlu dapat kelulusan mengikut proses undang-undang ditetapkan,” katanya. – MINGGUAN
The post ‘Bina kuil kena patuh undang-undang’ appeared first on Utusan Malaysia.






