
Ada Perkara Yang Sedang Berlaku Libatkan China, Jepun & Korea Selatan Di Malaysia
Jika anda perasan, Malaysia telah mengecapi pelbagai kejayaan sejak awal tahun 2025 terutama apabila menjadi pengerusi ASEAN. Mata dunia tertumpu ke arah negara kita apabila beberapa negara kuasa besar membuat kunjungan di sini.
Namun, tahukah anda baru-baru ini ada sesuatu yang berlaku melibatkan tiga kuasa besar Asia iaitu China, Jepun dan Korea Selatan di Malaysia?
Bukan sekadar gimik, ramai tidak sedar bahawa perkara ini sebenarnya boleh memberi impak positif dalam mengukuhkan kedudukan budaya, seni dan ekonomi kreatif negara kita di rantau ini.
China, Jepun & Korea Selatan Sebagai Rakan Dialog
Untuk pengetahuan, ketiga-tiga negara itu berperanan sebagai rakan dialog di Mesyuarat Pegawai Kanan Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) Plus Three Ke-17.
Mesyuarat yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah itu menjadi satu platform yang menghimpunkan pegawai kanan dari negara ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan bagi memantapkan lagi kerjasama dalam bidang kebudayaan, kesenian serta industri kreatif.
Hasil perbincangan dan dialog yang diadakan, semua negara bersetuju untuk memantapkan lagi pertukaran budaya, memupuk persefahaman serantau dan menyumbang kepada membina komuniti ASEAN selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Selain itu, fokus utama perbincangan tmelibatkan pemuliharaan warisan, pembangunan industri kreatif dan program kebudayaan yang menumpukan kepada belia.
Malah, mereka juga mengiktiraf kepelbagaian tradisi, inovasi dan hubungan rakyat ke rakyat yang menjadi pemangkin penting kepada kerjasama serantau.
SOMCA Ke-21 & Keberhasilan ASEAN
Pada hari yang sama, Mesyuarat SOMCA ke-21 dan Mesyuarat Berkaitan Bersama Rakan Dialog turut dirasmikan.
Ia telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan turut dihadiri pegawai kanan dari semua negara anggota ASEAN serta wakil dari China, Jepun dan Korea Selatan.
Malaysia berjaya membawa dua pencapaian utama menerusi mesyuarat ini iaitu Kerangka Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN (ASEAN Creative Economy Sustainability Framework) dan Deklarasi Melaka mengenai Penciptaan Nilai Warisan Budaya.
Aktiviti ini mengukuhkan peranan Malaysia dalam ekonomi kreatif dan pelancongan warisan dan budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)
Malah, ia dapat menonjolkan keunggulan seni dan hospitaliti yang menjadi identiti negara.

Kerjasama ASEAN-Korea Selatan (AKCHC)
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Kerjasama Warisan Budaya ASEAN–Republik Korea (AKCHC) ke-7 juga telah diadakan.
Pertemuan itu memperkukuh kerjasama dalam pemuliharaan warisan budaya, penyelidikan dan pembangunan warisan yang mampan.
Para delegasi memberi penekanan bahawa kerjasama warisan budaya menjadi pemacu penting kepada perpaduan serantau, ketahanan serta identiti bersama.
Ia turut memberi fokus kepada usaha untuk mengenal pasti lima bidang keutamaan kerjasama, pelaksanaan projek perintis warisan dan pemuktamadan cadangan inisiatif masa hadapan.
Perbincangan memfokuskan kepada usaha untuk membawa perancangan tersebut ke peringkat pelaksanaan. Ia melibatkan penyelidikan warisan budaya bersama, pembangunan Strategi Kerjasama Warisan Budaya ASEAN–Korea dan Pelan Operasi untuk fasa kedua Jawatankuasa Kerja.
Dalam diam, banyak inisiatif penting sedang berlaku antara Malaysia dan tiga kuasa Asia ini. Ia bukan sahaja memperkukuh hubungan budaya, tetapi juga membuka peluang nyata untuk rakyat, seni dan ekonomi kreatif Malaysia.
Borneo Arts and Crafts Bazaar
Borneo Arts and Crafts Bazaar telah dianjurkan bersempena SOMCA Ke-21 bagi mengetengahkan kekayaan dan kepelbagaian warisan budaya Sabah serta rantau Borneo. Menampilkan kraftangan tradisional, tekstil, karya seni dan produk kreatif tempatan, bazar ini memberikan peluang kepada para delegasi dan orang ramai untuk alami sendiri serta menghargai hasil tangan dan ekspresi budaya artisan tempatan. Bazar ini berlangsung dari 18 hingga 20 November 2025 di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah.
Antara tarikan di bazar ini adalah Anyaman Buluh dan Anyaman Serdang yang dihasilkan oleh Jelitah @Julitah Binti Kulintang dan Sadi Bin Basal @ Basar.
Jelitah @Julitah Binti Kulintang, Adiguru Kraf Anyaman Buluh
Anak jati negeri Sabah ini dilahirkan pada 3 Ogos 1966 di Kampung Sinaron, Keningau, Sabah dan kini menetap di Kampung Batu Lunguyan, Keningau, Sabah. Beliau mula mempelajari kraf anyaman buluh pada usia 18 tahun dan sejak itu aktif menghasilkan pelbagai produk kraf warisan serta kontemporari. Beliau merupakan antara perintis awal dalam memperkenalkan inovasi bagi penghasilan produk baharu berasaskan anyaman buluh di negeri Sabah.
Anyaman buluh yang dihasilkan di Kampung Batu Lunguyan masih mengekalkan penggunaan motif warisan etnik Dusun dan Murut. Setiap motif yang dihasilkan diinspirasikan daripada keindahan flora dan fauna serta kisah kehidupan penganyam itu sendiri, antaranya nandus-andus, pinaku paku, pinuru langsat, nurugan, kolobon dan binulan.

Sadi Bin Basal @ Basar, Adiguru Kraf Anyaman Serdang
Sadi bin Basal @ Basar dilahirkan pada 15 September 1966 di Kota Belud, Sabah. Beliau mula bergiat aktif dalam seni kraf anyaman sejak tahun 1990 ketika berusia 24 tahun hasil dorongan dan tunjuk ajar daripada ibunya. Pengalaman luas serta kemahiran tinggi beliau dalam menganyam daun serdang telah melahirkan pelbagai produk kraf yang halus dan bernilai estetik tinggi.
Atas ketekunan dan sumbangan beliau dalam memartabatkan kraf anyaman serdang, beliau telah menerima Anugerah Tukang Ulung Hasil Rimba (Anyaman Serdang) pada tahun 2015 dan seterusnya dilantik sebagai Adiguru Kraf Anyaman Serdang pada tahun 2021.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://ascc2025.motac.gov.my
The post Ada Perkara Yang Sedang Berlaku Libatkan China, Jepun & Korea Selatan Di Malaysia appeared first on Siakap Keli.





