Ada pihak sengaja 'guna' pelajar sekolah uji tahap penguatkuasaan - Polis Kelantan

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 11:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ada pihak sengaja 'guna' pelajar sekolah uji tahap penguatkuasaan - Polis Kelantan
Yusoff Mamat

KOTA BHARU – Polis Kelantan mendedahkan wujud cubaan provokasi oleh pihak tertentu susulan tangkapan melibatkan 34 pelajar merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok di sini yang dipercayai bertujuan menguji tahap penguatkuasaan undang-undang pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian yang berlaku dua hari lalu itu menimbulkan kebimbangan pihaknya kerana dipercayai bukan sekadar kes biasa, sebaliknya mempunyai elemen 'ujian' terhadap kawalan yang dilaksanakan.

Menurut beliau, hasil maklumat risikan, pihak berkenaan dipercayai cuba melihat sejauh mana ketegasan pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti rentas sempadan melalui pangkalan haram.

"Kenapa tiba-tiba berlaku tangkapan pelajar melibatkan jumlah kuantiti besar? Kita bimbang ada pihak cuba provokasi dan uji penguatkuasaan kita.

"Jika kita lepaskan, mereka akan teruskan lagi selepas ini. Itu yang kita tidak mahu berlaku," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan memandangkan ia melibatkan keselamatan negara serta risiko penyeludupan termasuk dadah.

Tambahnya, tindakan tegas itu bukan dibuat tanpa asas, sebaliknya mengambil kira kes lampau yang menyaksikan sindiket menggunakan pelajar bawah umur sebagai keldai dadah.

"Sebab itu saya tegas. Sudah ada kes sebelum ini melibatkan pelajar digunakan untuk membawa masuk dadah.

"Itu tujuan saya..bukan bermaksud tidak kompromi. Sampai ada cakap pada saya... Ketua Polis Kelantan langsung tidak ada budi bicara... tegas tidak bertempat mereka kata.

"Ini bukan soal tiada budi bicara, tetapi soal keselamatan dan undang-undang yang perlu kita laksanakan," katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan larangan rentas sempadan tanpa melalui laluan sah telah dikuatkuasakan lebih setahun lalu dan sepanjang tempoh itu, tiada isu besar timbul.

"Selama lebih setahun kita kuat kuasakan, tiada masalah. Jadi kenapa sekarang tiba-tiba ada cubaan seperti ini? Ini yang menimbulkan persoalan.

"Kita hanya laksanakan undang-undang dan tidak mahu ruang ini dimanipulasi mana-mana pihak," katanya.

Menurut Mohd Yusoff, terdapat empat kaedah yang telah diberikan kepada pelajar dan ibu bapa, jadi tiada alasan untuk menggunakan laluan tidak sah.

Ujarnya, antara pendekatan yang diberikan termasuk kemudahan tinggal di asrama, kebenaran berulang-alik melalui laluan sah serta pembukaan pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) seawal jam 6 pagi.