KOTA BHARU - Seramai 29 daripada 34 pelajar yang ditahan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang untuk ke sekolah pada Ahad lalu akan berdepan pendakwaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lima daripada mereka tidak akan berdepan dakwaan kerana berusia di bawah 10 tahun.
"Selepas mengambil keterangan, kita bebaskan mereka (pelajar) dengan jaminan polis.
"Mereka belum bebas sepenuhnya, cuma belum dapat keputusan daripada pendakwa raya sama ada hendak tuduh atau pun tidak," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, tugas polis hanya membuat tangkapan dan melengkapkan siasatan sahaja.
Mohd Yusoff memberitahu, selebihnya sama ada hendak dituduh atau pun tidak ia bergantung kepada pendakwa raya.
Kata beliau, siasatan lanjut belum siap sepenuhnya lagi di mana ia dalam proses melengkapkan kertas pendakwaan.
"Dulu asalnya 500 lebih pelajar rentas sempadan menggunakan pangkalan haram melibatkan kawasan di Rantau Panjang, Tumpat dan Jeli.
"Kemudian apabila sempadan ditutup pada 1 Disember 2024 hanya tinggal 300 lebih pelajar. Sekarang hanya ada 100 lebih pelajar yang lain sudah selesai," katanya.
Menurut Mohd Yusoff, 34 pelajar yang ditahan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang pada Ahad adalah mereka daripada 100 lebih tersebut.
Beliau percaya ia berkemungkinan disebabkan masalah ekonomi.
"Ini kerana antara keluhan ibu bapa pelajar yang ditahan itu ialah mereka mendakwa membiarkan anak berbuat demikian kerana isu peningkatan kos.
"Kata mereka jika guna kaedah biasa (ICQS) perlu berbelanja sekitar RM10. Naik perahu melalui pangkalan haram hanya sekitar RM4 sehari," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, pada Ahad beliau telah memberikan penjelasan berkenaan isu terbabit kepada Pegawai Khas Menteri Pendidikan.
"Kita tunggu apa kaedah KPM (Kementerian Pendidikan) akan buat nanti untuk atasi masalah ini,' katanya.




