Guna pangkalan haram ke sekolah, kenapa cari penyakit?

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guna pangkalan haram ke sekolah, kenapa cari penyakit?
Menggunakan laluan haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang bahaya yang tidak sepatutnya berlaku.

ISU pelajar menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah sepatutnya tidak lagi timbul dalam keadaan semasa, lebih-lebih lagi apabila kemudahan laluan sah telah tersedia dan beroperasi seawal pagi.

Namun realitinya, masih terdapat segelintir pihak yang memilih jalan tersebut walaupun berdepan risiko keselamatan serta implikasi undang-undang.

Terbaharu, seramai 34 pelajar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk ke sekolah.

Lebih membimbangkan, kumpulan itu turut membabitkan murid seawal usia tujuh hingga 16 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kesedaran dan tanggungjawab pihak terlibat.

Dalam kalangan sesetengah masyarakat sempadan, penggunaan pangkalan haram bukan perkara baharu, malah ada yang menganggapnya sebagai jalan biasa tanpa memikirkan risiko sebenar.

Tetapi alasan itu tidak lagi boleh diterima apabila laluan sah seperti Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dibuka seawal jam 6 pagi.

Ia bermakna sudah cukup awal untuk pelajar ke sekolah tanpa perlu mengambil jalan pintas, memberi ruang cukup untuk mereka menyeberang secara sah dan selamat tanpa perlu melanggar undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat turut mengingatkan supaya laluan sah digunakan sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun memiliki MyKad tetapi jika tinggal di Thailand dan masuk secara haram, ia tetap salah di sisi undang-undang.

Persoalannya, mengapa masih ada yang sanggup mengambil risiko sedangkan pilihan lebih selamat telah tersedia?

Hakikatnya, kecenderungan memilih jalan mudah, cepat dan sudah terbiasa dengan amalan lama menjadi antara faktor utama isu ini terus berlaku.

Menariknya, selepas tindakan penguatkuasaan dilakukan, kawasan pangkalan haram dilaporkan kembali lengang dan pelajar mula menggunakan laluan sah.

Ini jelas menunjukkan perubahan boleh dilakukan sekiranya ada kesedaran dan pematuhan.

Namun, adalah tidak wajar seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun melalui pengalaman ditahan hanya kerana mahu ke sekolah.

Situasi ini mencerminkan wujudnya kelompongan dari segi kesedaran, khususnya dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan memastikan anak-anak menggunakan laluan sah, selain memberi kefahaman mengenai risiko dan undang-undang.

Keselamatan anak-anak tidak boleh dikompromi hanya kerana mahu mengejar kemudahan sementara. Menggunakan laluan haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang bahaya yang tidak sepatutnya berlaku.