Lebih 1,000 wanita Kelantan diperalat daftar kenderaan warga asing - JPJ

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 2:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 1,000 wanita Kelantan diperalat daftar kenderaan warga asing - JPJ
Muhammad Kifli - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Lebih 1,000 kes membabitkan golongan ibu tunggal, balu dan warga emas di negeri ini dipercayai diperalat warga asing untuk mendaftarkan kenderaan atas nama mereka sejak 2025.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, golongan berkenaan dijanjikan perkahwinan atau tawaran peluang perniagaan oleh warga asing berkenaan.

“Ini taktik yang boleh saya sahkan sudah dikesan iaitu warga asing menggunakan wanita warga emas, ibu tunggal, balu dan golongan lebih berusia dengan menjanjikan untuk berkahwin atau menawarkan peluang perniagaan.

“Mereka menetapkan syarat kenderaan seperti kereta atau motosikal perlu didaftarkan atas nama individu terbabit sebelum digunakan di jalan raya,” katanya dalam satu podcast.

Muhammad Kifli berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana wanita terbabit berdepan risiko sekiranya kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka digunakan warga asing untuk melakukan kesalahan.

Menurutnya, keadaan itu turut mendedahkan pemilik berdaftar kepada kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya kenderaan berkenaan terbabit dalam kemalangan atau digunakan bagi kegiatan jenayah.

Beliau berkata, jumlah kes yang direkodkan di Kelantan itu sekali gus lebih tinggi berbanding negeri lain.

Katanya, wanita di negeri ini khususnya mereka yang berusia antara 60 hingga 70 tahun perlu lebih berhati-hati apabila didekati warga asing berusia 30-an yang menawarkan janji perkahwinan.

“Jangan biarkan diri dimanipulasi dengan janji manis.

“Jika kenderaan kemudiannya digunakan untuk kegiatan jenayah, nama anda boleh terpalit dan perkara ini boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, JPJ turut mengesan warga asing termasuk pelarian Rohingya menggunakan nama rakyat tempatan untuk membeli dan mendaftarkan motosikal serta kenderaan lain.

Beliau berkata, JPJ bersedia memohon tindakan mahkamah lebih tegas terhadap warga asing yang berulang kali melakukan kesalahan sedemikian, termasuk hukuman penjara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved