
KUALA LUMPUR – “Ada rindu yang hanya sebatas Al-Fatihah.”
Demikian tulisan yang disertakan dalam sebuah video TikTok yang memaparkan detik seorang bapa menerima bingkai kenangan mengandungi foto lama arwah isterinya, dua tahun selepas wanita itu pergi buat selama-lamanya.
Video dikongsikan oleh pengguna TikTok nxs. pada 28 Julai lalu, bertepatan dengan ulang tahun kedua pemergian ibunya.
Dalam video berkenaan, lelaki itu dilihat memegang bingkai tersebut sambil menatap foto berkenaan sebelum anaknya yang merakam momen itu turut kelihatan sebak.
“Walaupun sekadar foto IC tapi memang sangat bermakna untuk kami semua especially untuk abah. Rindu yang tiada penghujung,” tulisnya.
Penantian Untuk Sebuah Kenangan
Menurut perkongsian di ruangan komen, pencipta video itu memaklumkan dia telah membuat tempahan sekitar Oktober tahun lalu dan perlu menunggu tempoh permohonan dibuka oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dia turut menjawab pertanyaan pengguna lain bahawa tempahan tersebut mempunyai beberapa pakej.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata tersentuh melihat reaksi si bapa ketika menatap semula wajah isterinya.
Ada yang menyifatkan lelaki berkenaan kelihatan tenang di hadapan anak-anak, namun jelas menyimpan kerinduan terhadap insan yang telah pergi.
Malah, pencipta video itu menjelaskan bapanya sehingga kini masih bergelut dengan kehilangan tersebut, cuma tidak menunjukkan kesedihan di hadapan anak-anak.
“Abah saya sampai sekarang memang belum move on cuma dia tak tunjuk depan anak-anak. Hari mak tak ada pun dia tak menangis, tenang je, reda. Cuma bila sorang, dia je yang tahu,” katanya.
Foto Lama, Nilai Yang Tidak Terganti
Untuk rekod, Foto Kenangan Terindah JPN merupakan koleksi khas gambar MyKad yang ditawarkan kepada orang ramai sebagai simpanan peribadi dan kenangan.
Inisiatif itu bukan dokumen rasmi dan memaparkan foto MyKad pada beberapa peringkat usia, termasuk ketika berusia 12 tahun, 18 tahun serta foto terkini. JPN memperkenalkannya sebagai satu bentuk koleksi kenangan yang boleh disimpan sendiri atau dijadikan hadiah buat keluarga.
Pada 2025, tempahan dibuka sepanjang Oktober, manakala laporan media menyebut proses penyediaan koleksi berkenaan boleh mengambil masa antara sebulan hingga enam bulan bergantung kepada carian rekod.
Bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, sekeping foto lama itu mungkin kelihatan biasa bagi orang lain.
Namun buat mereka, ia boleh menjadi antara kenangan yang paling dekat untuk melepaskan rindu.
Dalam kes keluarga ini, sebuah bingkai foto bukan sekadar gambar lama, tetapi menjadi pengubat rindu seorang suami terhadap wanita yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Ada rindu yang hanya sebatas Al-Fatihah.” – The Malaysian Update
The post “Ada Rindu Yang Hanya Sebatas Al-Fatihah”, Reaksi Ayah Tatap Foto Arwah Isteri Undang Sebak appeared first on The Malaysian Update.





