

Lelaki itu mempunyai rumah, isteri dan anak. Namun, pada usia sepatutnya dihabiskan bersama keluarga, warga emas ini menjalani kehidupan sebagai gelandangan di Kuala Lumpur.
Saya bertemu dengannya ketika menjalankan aktiviti advokasi komuniti bersama golongan gelandangan. Ketika berbual, dia mengakui meninggalkan rumah selepas suatu peristiwa yang menjejaskan hubungannya dengan isteri dan anak.
Menurutnya, dia tidak lagi diterima keluarga. Semua kad bank diserahkan kepada isteri dan anak sebelum keluar rumah.
Dia tidak mendedahkan perkara sebenar yang berlaku. Saya juga tidak mendesaknya untuk bercerita lebih lanjut kerana menghormati haknya untuk menyimpan pengalaman tersebut sebagai perkara peribadi.
Namun, perbualan itu meninggalkan satu persoalan dalam fikiran saya. Bagaimanakah seseorang yang mempunyai rumah dan keluarga akhirnya menjalani kehidupan di jalanan?
Selama ini, kita sering mengaitkan gelandangan dengan kemiskinan, kehilangan pekerjaan atau ketiadaan tempat tinggal. Kisah lelaki tersebut memperlihatkan kehidupan bergelandangan juga boleh berkait konflik kekeluargaan dan kehilangan tempat bergantung.
Kehilangan tempat bergantung bukan sahaja memberikan kesan kepada kehidupan harian, malah berpotensi menjejaskan kesejahteraan emosi seseorang.
Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila individu mengalaminya warga emas yang mungkin turut berdepan masalah kesihatan dan keterbatasan fizikal.
Kesunyian
Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan, kira-kira 15 peratus individu berusia 70 tahun ke atas di seluruh dunia hidup dengan gangguan mental. Kesunyian dan pengasingan sosial turut dikenal pasti sebagai antara faktor boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi warga emas.
Bagi gelandangan warga emas, kesunyian mungkin menjadi lebih sukar apabila hubungan dengan keluarga dan masyarakat semakin terbatas.
Mereka bukan sahaja perlu memikirkan tempat tidur dan makanan bagi meneruskan kehidupan, tetapi mungkin turut berdepan perasaan tidak dihargai, kehilangan sokongan emosi atau ketidaktentuan masa depan.
Malangnya, keadaan emosi mereka jarang menjadi perhatian utama. Apabila masyarakat melihat seorang warga emas duduk bersendirian di kaki lima, perkara pertama biasanya terlintas ialah sama ada individu itu sudah makan atau mempunyai tempat untuk tidur.
Keprihatinan sedemikian sememangnya penting. Pernahkah kita bertanya sama ada mereka mempunyai seseorang untuk diajak berbual, berkongsi masalah atau sekadar mendengar cerita?
Pertanyaan ini membawa saya kepada pengalaman bersama inisiatif Sudut Minda Sihat dibangunkan National Coalition for Mental Wellbeing (NCMW) dan PERTIWI untuk mendekati golongan gelandangan.
Melalui penglibatan dalam program ini, saya melihat kepentingan menyediakan ruang komunikasi mesra, selamat dan tidak menghakimi. Ada kalanya, bantuan diperlukan seseorang bukan sekadar makanan atau pakaian, tetapi peluang untuk berinteraksi dengan seseorang.
Pertanyaan ringkas seperti “Pakcik sihat hari ini?” atau “Ada apa-apa makcik ingin ceritakan?” boleh menjadi permulaan kepada sebuah perbualan bermakna.
Namun, bukan semua individu bersedia menceritakan pengalaman peribadi. Lelaki warga emas saya temui, misalnya, memilih tidak menjelaskan peristiwa yang menyebabkan beliau meninggalkan keluarganya.
Keputusan itu perlu dihormati. Kesediaan mendengar bukan bermakna kita berhak mengetahui segala-galanya tentang kehidupan seseorang. Sebaliknya, sikap hormat pilihan mereka membantu membina kepercayaan dalam hubungan sosial.
Hubungan sosial positif sebahagian kesejahteraan mental. Apabila seseorang berasa dirinya diterima, keadaan itu boleh menjadi sumber sokongan emosi, khususnya bagi individu mempunyai hubungan sosial terhad.
Bagaimanapun, komunikasi baik tidak semestinya mencukupi membantu individu mengalami masalah kesihatan mental.
Atas sebab itu, bantuan kepada gelandangan warga emas tidak seharusnya terhenti selepas sesi pengagihan makanan atau program kebajikan dijalankan dalam tempoh beberapa jam.
Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu diperkukuh supaya bantuan dapat diberikan lebih menyeluruh.
Pusat perlindungan sementara, misalnya bukan sahaja menyediakan makanan dan tempat tidur, tetapi juga boleh menjadi ruang untuk menjalankan aktiviti sosial, pendidikan kesihatan mental dan saringan awal kesejahteraan emosi secara sukarela.
Individu memerlukan bantuan boleh dirujuk kepada perkhidmatan kesihatan atau sokongan sosial bersesuaian. Ini membolehkan usaha membantu gelandangan melangkaui bantuan segera kepada sokongan berterusan.
Setiap individu mempunyai pengalaman hidup berbeza. Ada kehilangan pekerjaan, ada berdepan masalah kesihatan, manakala sebahagian lain mungkin mengalami konflik kekeluargaan seperti lelaki warga emas yang saya temui.
Kisahnya mengingatkan sebuah rumah bukan sekadar bangunan mempunyai dinding dan bumbung. Rumah sering menjadi tempat seseorang berasa selamat, diterima dan ada hubungan dengan insan tersayang.
Apabila hubungan terjejas, seseorang mungkin tidak lagi tinggal di rumah dimilikinya. Namun, hal ini tidak bermakna kita boleh membuat kesimpulan tentang siapa bersalah dalam sesuatu konflik keluarga, terutama keseluruhan kisah tidak diketahui.
Apa lebih penting memastikan individu terkesan tidak terus dipinggirkan daripada bantuan dan sokongan diperlukan.
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 10 Oktober lalu, masyarakat wajar memperluas perhatian kepada kesihatan mental golongan kurang mendapat peluang menyuarakan pengalaman, termasuk gelandangan warga emas.
Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan keseluruhan masalah seseorang melalui satu pertemuan. Akhirnya, kisah lelaki warga emas yang saya temui memberi pengajaran penting. Seseorang mungkin masih mempunyai rumah, tetapi tidak mempunyai tempat untuk pulang.
Justeru, ketika kita berusaha menyediakan bantuan kepada golongan gelandangan, jangan sampai terlupa mereka bukan sekadar memerlukan tempat berteduh, tetapi juga berhak menjalani kehidupan dengan maruah dan kesejahteraan mental yang terpelihara.
Profesor Madya Dr. Juliana Rosmidah Jaafar merupakan Pensyarah Kanan di Kuala Lumpur University of Science and Technology (KLUST) dan aktif dalam advokasi kesihatan mental komuniti
The post Ada rumah, tetapi hidup merempat appeared first on Kosmo Online.






