
KOTA BHARU – Seorang peniaga menyedekahkan semua makanan yang sepatutnya dijual di pasar kepada jiran dan orang ramai selepas rumah keluarganya hangus dijilat api ekoran kejadian litar pintas di Kampung Pasir Jelatang, Pasir Hor, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.56 pagi itu, Hamzah Mahmood, 63, bersama isterinya, Rosenah Repian, 59, dan 11 ahli keluarga yang lain tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka sekelip mata dibakar api.
Hamzah berkata, kejadian itu disedari isterinya yang merupakan peniaga makanan di Pasar Wakaf Bharu, Tumpat ketika sedang bersiap-siap untuk keluar berniaga.
Katanya, menyedari keadaan itu, dia terkejut melihat asap tebal dan api membakar ruang dapur rumahnya ketika mengejutkan salah seorang anaknya yang merupakan imam madrasah berdekatan.
“Bekalan elektrik di rumah terputus dan dalam keadaan kelam kabut. Saya bersama anak-anak membawa cucu termasuk bayi berusia dua bulan terus bergegas keluar untuk mengelak daripada terperangkap dalam kebakaran itu.
“Kami tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah dan semua dokumen peribadi juga hangus terbakar. Semua makanan yang sudah siap dimasak sudah berada di atas trak pikap jenis Toyota Hilux dan kami hanya menunggu masa solat subuh sebelum keluar berniaga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian, hari ini.
Hamzah memberitahu, dia dan isterinya membatalkan hasrat untuk berniaga dan menyedekahkan semua makanan kepada jiran tetangga.

Tambahnya, kebakaran itu menyebabkan dia memgalami kerugian melebihi RM500,000 termasuk harga rumah, nilai barangan berharga termasuk wang tunai yang gagal diselamatkan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Rusdi Ismail berkata, pihaknya keluar ke lokasi kebakaran menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 5.56 pagi dan api sudah marak ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
Katanya, anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal api dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah terbakar, peniaga sedekah semua jualan makanan kepada jiran appeared first on Kosmo Online.






