Poay Tiong digesa tarik balik kenyataan, mohon maaf secara terbuka

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 9:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Poay Tiong digesa tarik balik kenyataan, mohon maaf secara terbuka
Hantaran Poay Tiong di Facebook pada Jumaat.

KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO Terengganu menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong supaya menarik balik kenyataan beliau berkaitan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di negeri ini dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Terengganu.

​Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, tindakan pemimpin DAP itu disifatkan sebagai semberono serta bersifat prejudis kerana dibuat tanpa memahami asas pewartaan polisi berkenaan.

​Menurut Tengku Haphiz, Poay Tiong tidak perlu mengajar pentadbiran mahupun masyarakat negeri ini mengenai apa yang terbaik untuk Terengganu, selain mendakwa sikap tersebut menunjukkan DAP tidak pernah cuba memahami budaya dan agama Islam.

​"Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. DAP perlu mengajar pimpinan mereka pepatah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Poay Tiong menerusi hantaran di laman sosialnya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.

Beliau menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif parti Islam terhadap pentadbiran awam.

Bagaimanapun, Poay Tiong berkata, pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun berpendapat dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengambil kira kepentingan semua pihak.

​Mengulas lanjut mengenai sejarah pelaksanaan dasar itu, Tengku Haphiz menjelaskan bahawa polisi berkenaan telah diluluskan dan dikuatkuasakan sejak tahun 2015 ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) menerajui negeri Terengganu.

​Jelasnya, ia adalah hasil persetujuan kerajaan negeri bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi memberi ruang kepada semua lelaki Muslim termasuk pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat yang merupakan kewajipan bagi mereka yang memenuhi syarat syarie.

​"Oleh kerana polisi ini baik dengan budaya orang Terengganu, maka ia diteruskan oleh Menteri Besar Terengganu kini, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

​"Sepanjang ia dilaksanakan, tidak pernah ada satu kenyataan daripada mana-mana bukan Islam di Terengganu yang mempertikaikan polisi tersebut seperti Ahli Parlimen DAP ini," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved