
PETALING JAYA: Rentak cemerlang jaguh remaja boling negara, Adania Mohd Redzwan di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 terus membara apabila dia membantu Selangor meraih emas acara trio wanita di Sunway Mega Lanes, hari ini.
Gandingan Adania bersama Adelia Nur Irwan Syazalee dan Qurratu’ain Izdihar Mohamad Pozi mengumpul keseluruhan 3,560 jatuhan pin untuk menafikan cabaran Kedah yang terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi 3,516 pin.
Selangor bagaimanapun terpaksa bekerja keras selepas Kedah bermula lebih baik, namun tuan rumah bangkit dengan permainan 644, 600 dan 663 pin pada tiga game terakhir untuk memintas pencabar mereka.
Sarawak pula melengkapkan podium dengan gangsa selepas trio Nur Fathi Fatihah Mohammad Zakry, Claudia Kumang Jakson dan Lavinia Kho mengumpul 3,449 pin.
Adania sekali lagi muncul tonggak utama Selangor apabila menyumbang 1,249 pin dengan purata 208.17, manakala Adelia mengumpul 1,175 dan Qurratu’ain 1,136.
Emas itu turut menyambung rentetan podium sempurna Adania apabila dia kini sudah mengumpul empat pingat daripada empat acara yang disertainya, bermula dengan perak perseorangan sebelum meraih emas beregu bersama Adelia dan beregu campuran bersama juara kebangsaan Aiman Syahin.
Dalam saingan trio lelaki, Penang akhirnya membuka akaun emas boling apabila Nyak Arif Hakimi Nyak Mazlan, Mohammad Zuhair Zailani dan Muhammad Hafiz Darwish Azhlan mengungguli pertandingan dengan 3,733 pin, meninggalkan Johor di tempat kedua dengan 3,637 pin.
Terengganu pula meraih gangsa menerusi Ahmad Adil Ahmad Shamsul, Ahmad Hazim Syahmi Nik Mat dan Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan selepas mengumpul 3,611 pin. – UTUSAN
The post Adania bantu Selangor raih emas trio boling appeared first on Utusan Malaysia.





