
PETALING JAYA: Air mata dan kenangan terhadap arwah ibu menjadi pembakar semangat buat pemain tenpin boling Sarawak, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan apabila akhirnya menghadiahkan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kepada insan yang banyak membentuk kariernya.
Isyraq, 19, menamatkan penantian untuk meraih emas pertama dalam karier selepas mengungguli acara perseorangan dengan mengumpul keseluruhan 1,331 pin pada saingan di Sunway Megalanes, hari ini.
Lebih menyentuh hati, kejayaan itu diraih selepas ibunya meninggal dunia tahun lalu akibat masalah jantung, sedangkan insan berkenaan merupakan antara penyokong paling kuatnya sejak mula menceburi sukan boling pada usia sembilan tahun.
“Saya sangat-sangat gembira hari ini. Terima kasih kepada semua jurulatih, kawan-kawan dan ibu bapa. Saya sangat bersyukur hari ini.Ini untuk ibu saya. Ibu sudah meninggal dunia dan saya lakukan ini untuknya,” katanya.
Apabila ditanya mengenai sejauh mana pengaruh ibunya terhadap perjalanan kariernya, Isyraq hanya mampu menjawab ringkas, namun cukup menggambarkan besarnya jasa wanita berkenaan.
“Terlalu banyak… terlalu banyak,” katanya.
Isyraq sebelum ini pernah meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan pada SUKMA 2024 di Sarawak, namun kejayaan di Selangor menjadi detik paling manis apabila dia akhirnya berjaya berdiri di podium tertinggi buat kali pertama.
Dia mengakui sasaran untuk memburu emas sudah tersemat sejak awal pertandingan, namun enggan membiarkan tekanan daripada pencabar mengganggu fokusnya.
“Saya tahu saya ada peluang dan saya melakukannya. Saya hanya terus fokus kepada diri sendiri,” katanya.
Konsistensi sepanjang saingan membolehkan Isyraq menewaskan wakil Pulau Pinang, Adam Darwish Dzulhakimy yang mengumpul 1,283 pin untuk perak, manakala Sufi Fitri Jumali dari Pahang meraih gangsa dengan 1,287 pin.
Bagi Isyraq, emas itu bukan sekadar kejayaan pertama dalam karier, sebaliknya hadiah paling bermakna buat insan yang sokongannya terus menjadi kekuatan walaupun sudah tiada di sisi.-UTUSAN
The post Isyraq hadiah emas untuk arwah ibu appeared first on Utusan Malaysia.






