Adeola, Shahmalarani terima habuan RM140,000

6 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Adeola, Shahmalarani terima habuan RM140,000

 

PETALING JAYA: Pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membawa tuah besar buat dua jaguh karate negara, Adeola Fay Robert dan C. Shamalarani apabila masing-masing bakal menikmati habuan lumayan berjumlah RM140,000.

Ganjaran itu hadir menerusi RM80,000 daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS bernilai kira-kira RM60,000 yang dijanjikan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

Adeola, 20, yang menjuarai kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) mengakui pemberian berkenaan cukup bermakna, malah sudah mempunyai perancangan untuk membawa pulang kenderaan tersebut ke Sabah bagi kegunaan keluarganya.

“Saya rasa amat bersyukur dan gembira, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MAKAF.

“Rancangan saya adalah untuk membawa pulang kereta itu ke Sabah, saya mahu keluarga menggunakannya,” katanya.

Shamalarani turut menikmati ganjaran sama selepas mengungguli kumite wanita bawah 50kg sekali gus menjadikan kedua-dua pesilat karate itu antara atlet negara yang menerima habuan tertinggi susulan kejayaan di Aichi-Nagoya.

Selain mereka, dua jaguh skuasy, Ng Eain Yow dan S Sivasangari masing-masing bakal menerima RM100,000 selepas mempertahankan emas perseorangan lelaki dan wanita, selain membantu pasukan negara muncul juara.

Datuk Mohd Azizulhasni Awang pula memperoleh RM100,000 hasil emas keirin dan gangsa pecut individu, dengan RM80,000 daripada SHAKAM untuk emas dan RM20,000 lagi bagi gangsa.

Mengikut kadar SHAKAM Sukan Asia, pemenang emas acara individu menerima RM80,000, manakala emas acara pasukan empat orang ke bawah menerima RM80,000 untuk dikongsi dan pasukan lima orang ke atas RM15,000 seorang.

Bagi perak, pemenang individu menerima RM40,000, pasukan empat orang ke bawah RM40,000 untuk dikongsi dan pasukan lima orang ke atas RM8,000 seorang, manakala gangsa masing-masing menerima RM20,000, RM20,000 untuk dikongsi dan RM4,000 seorang.

Selain SHAKAM, atlet yang menaiki podium di Aichi-Nagoya turut berpeluang menerima insentif tambahan daripada persatuan sukan masing-masing bergantung kepada tawaran yang diumumkan. – UTUSAN

The post Adeola, Shahmalarani terima habuan RM140,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved