Sukan Asia: Lebih dua tahun Adeola bagaikan ‘mesin’

26 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Lebih dua tahun Adeola bagaikan ‘mesin’

BANGUN pagi, berlatih, kemudian belajar, kembali menjalani latihan sebelum tidur menjadi rutin harian Adeola Fay Robert sejak dua setengah tahun lalu sehingga segala pengorbanan itu akhirnya dibayar dengan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Ketua jurulatih kumite negara, R. Sharmendran menyifatkan disiplin luar biasa atlet berusia 20 tahun dari Tambunan, Sabah itu sebagai antara faktor utama di sebalik kejayaannya menjuarai kategori kumite wanita bawah 55 kilogram (kg).

“Dia berlatih seperti mesin. Rutinnya bangun pagi, berlatih, belajar, kembali berlatih dan tidur, dengan waktu makan di antaranya. Itulah rutin dia sejak dua tahun setengah lalu,” kata Sharmendran ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Sukan Asia, semalam.

Perjalanan Adeola cukup unik apabila bakatnya dikesan Sharmendran secara tidak dirancang ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 sebelum dipanggil menjalani proses pemilihan dan kemudian diserap ke dalam program kebangsaan secara pantas.

“Saya memilihnya secara rawak ketika SUKMA 2024 di Sarawak sebelum kami mengujinya dalam proses pemilihan dan dia menunjukkan prestasi yang baik. Disebabkan kebolehannya, kami mempercepatkan perkembangannya dan memberikan banyak pendedahan,” katanya.

Kejayaan Adeola hadir bersama emas C. Shahmalarani dalam kategori bawah 50kg wanita, sekali gus menyaksikan Malaysia meraih dua emas acara kumite pada satu edisi Sukan Asia buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun, selain tiga gangsa menerusi K. Thevendran, H. Sureeya Sankar serta skuad kata berpasukan lelaki.

“Saya sangat gembira dan cukup beremosi. Baru saya dimaklumkan bahawa selepas 26 tahun, kita berjaya meraih dua emas kumite dalam satu edisi. Saya amat bersyukur,” kata Sharmendran.

The post Sukan Asia: Lebih dua tahun Adeola bagaikan ‘mesin’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved