
KEM karate negara terus memperagakan aksi cemerlang apabila sekali lagi menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi Shahmalarani Chandran dalam acara kumite bawah 50 kilogram (kg) wanita.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Toyohashi semalam, atlet berusia 28 tahun itu memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas menewaskan atlet berpengalaman dari Hong Kong, Tsang Yee Ting.
Pertarungan akhir itu berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua atlet mengambil pendekatan berwaspada dengan kedudukan 0-0 kekal hingga ke penghujung saingan walaupun Shahmalarani ada melakukan serangan saat akhir.
Bagaimanapun, tuah nyata memihak kepada Shahmalarani apabila diberikan kemenangan secara ‘hantei’, iaitu menerusi keputusan juri yang membuat penilaian berdasarkan aksi lebih kemas sepanjang pertarungan.
Shahmalarani berkata, kemahuan tinggi selain tidak mahu meranapkan harapan rakan sepasukan menjadi pembakar semangat untuk dia meraih pingat emas pertamanya dalam temasya sukan terbesar rantau Asia itu.
“Saya tidak boleh mengecewakan pasukan kerana orang lain sudah mempamerkan aksi terbaik. Jadi, sebagai atlet senior, saya perlu bekerja keras demi pasukan dan hanya itu yang bermain dalam fikiran.
“Dia (Yee Ting) memang seorang lawan yang sukar, lebih-lebih lagi dia merupakan atlet lebih senior. Memang kami saling berhati-hati kerana satu kesilapan sahaja boleh mengubah keadaan, tetapi tuah memihak kepada saya,” katanya selepas tamat pertarungan.
Dalam laluannya ke pentas final, pemenang tiga pingat emas Sukan SEA itu menyingkirkan atlet Bangladesh, Saiama Jaman 5-4 di suku akhir sebelum menewaskan juara dunia dari Uzbekistan, Gulshan Alimardanova 3-2 di pentas separuh akhir.
Sementara itu, Shahmalarani juga enggan berpuas hati biarpun sudah menamatkan penantian untuk meraih pingat emas Sukan Asia kerana menganggap masih banyak cabaran perlu diharungi selepas ini.
“Belum (lengkap) lagi kerana saya masih ada Kejohanan Dunia dan bagaimana seorang atlet boleh cakap misi sudah lengkap? Bagi saya, misi ini masih panjang,” ujarnya.
The post Sukan Asia: Shahmalarani enggan berpuas hati appeared first on Kosmo Online.






