Oleh Anna Farina Abdul Rauf
HULU LANGAT, 15 DIS: Program Bantuan Masuk Sekolah Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa terutama menjelang sesi persekolahan tahun depan.
Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata program itu memberi manfaat kepada penerima khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Ibu bapa tidak perlu membeli beg sekolah selepas permohonan mereka diluluskan, duit yang ada boleh digunakan untuk membeli keperluan sekolah lain.

“Saya yakin dan percaya, program ini sangat bermanfaat terutama kepada golongan B40 dan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan Bantuan Masuk Sekolah Tawas 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dan Semenyih di Setia Eco Hill Semenyih, semalam.
Dalam majlis berkenaan, 593 pelajar kelahiran 2018 DUN terbabit menerima set barangan sekolah Tawas berupa beg sekolah, alat tulis, botol air, bekas makanan, dompet serta tali penyandang (landyard).
Tawas antara program kebajikan negeri dilancarkan pada 2008 terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.


The post ADN: Bantuan masuk sekolah Tawas beri manfaat kepada golongan memerlukan appeared first on Selangorkini.

