Adtec JTM KL lahir huffaz berkemahiran TVET

LocalTechnology
3 Aug 2026 • 11:24 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adtec JTM KL lahir huffaz berkemahiran TVET

KOLEJ Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM), Kampus Kuala Lumpur terus melakar sejarah apabila buat julung kalinya melaksanakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz bagi bidang Teknologi Komputer (Sistem).

Program perintis itu melibatkan seramai 20 orang pelajar lelaki yang akan mengikuti latihan secara sepenuh masa selama 15 bulan bermula 10 Julai lalu.

Ketua Jabatan Pengajian Am Adtec JTM, Kampus Kuala Lumpur, Ustaz Nazri Mohd. Nor berkata, usaha itu membuktikan komitmen institusi berkenaan dalam melahirkan modal insan seimbang dari aspek kemahiran teknikal, profesional dan penghayatan al-Quran.

Menurutnya, program TVET Tahfiz itu merupakan satu pendekatan pendidikan yang menggabungkan latihan kemahiran berasaskan industri dengan pembelajaran dan pemantapan hafazan al-Quran.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi teknokrat huffaz yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam dan pembangunan sahsiah diri.

“Sepanjang tempoh 15 bulan pengajian, para pelajar akan mengikuti latihan dalam bidang Teknologi Komputer (Sistem) yang menekankan aspek pemasangan, konfigurasi, penyelenggaraan, pengoperasian sistem komputer serta penyelesaian masalah teknikal mengikut standard industri,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.

Pada masa sama, para pelajar turut menjalani sesi hafazan, tahriri, murajaah dan pengukuhan bacaan al-Quran secara berjadual.

Jelas Nazri, kejayaan menamatkan program itu membolehkan pelajar dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Teknologi Komputer (Sistem).

Selain itu, mereka akan menerima Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) Tahap 1 kategori Hafazan 5 Juzuk yang diperakukan oleh Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus membolehkan graduan memiliki dua pengiktirafan.

Image from: Adtec JTM KL lahir huffaz berkemahiran TVET
Selain pembelajaran TVET, para pelajar turut menjalani sesi bacaan al-Quran secara berkala.

Ditanya mengenai objektif utama program itu, Nazri memberitahu, ia dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknologi komputer, malah mempunyai jati diri, disiplin, integriti serta akhlak berpandukan al-Quran.

“Gabungan ilmu kemahiran dan hafazan diyakini mampu membentuk tenaga kerja profesional yang berkualiti tinggi.

“Program ini juga bertujuan memperluaskan peluang pendidikan kepada lepasan institusi tahfiz yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Mereka kini mempunyai laluan luas dan jelas untuk memperoleh kemahiran yang diiktiraf industri tanpa meninggalkan identiti sebagai penghafaz al-Quran,” katanya.

Pelaksanaan program itu turut menyokong agenda kerajaan dalam memperkasakan aliran TVET sebagai pemacu pembangunan negara.

Melalui pendekatan bersepadu, graduan akan lebih bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.

Bagi Adtec JTM Kampus Kuala Lumpur, pelaksanaan program sulung itu menjadi titik permulaan kepada pembangunan ekosistem TVET Tahfiz yang lebih menyeluruh.

“Kejayaan kohort pertama ini akan menjadi penanda aras untuk penambahbaikan kurikulum, kaedah penyampaian latihan serta pembangunan sahsiah pelajar pada masa hadapan.

“Institusi juga menyasarkan agar program ini dapat diperluas kepada bidang teknologi lain yang ditawarkan di Adtec JTM Kampus Kuala Lumpur.

“Langkah ini berpotensi meningkatkan penyertaan lepasan tahfiz dalam bidang-bidang strategik seperti teknologi kimpalan, automotif, elektrik dan bidang kemahiran berimpak tinggi lain,” ujarnya.

The post Adtec JTM KL lahir huffaz berkemahiran TVET appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved