Aduan kualiti petrol di Perlis meningkat kepada 14 kes

18 Oct 2026 • 4:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aduan kualiti petrol di Perlis meningkat kepada 14 kes

KANGAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis mencatatkan peningkatan jumlah aduan berhubung kualiti bahan api yang didakwa menyebabkan kerosakan enjin kenderaan di negeri ini.

Menurut sumber, sebanyak 14 aduan berkaitan kualiti petrol direkodkan sehingga semalam berbanding 11 aduan pada 8 Oktober lalu.

“Setakat semalam, kami menerima 14 aduan berkaitan isu tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan tiga aduan dalam tempoh sembilan hari susulan isu dakwaan pencemaran petrol RON95 yang mencetuskan kebimbangan pengguna di beberapa negeri utara tanah air sejak awal bulan ini.

Difahamkan, aduan diterima melibatkan pengguna yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah selepas mengisi petrol termasuk enjin mengeluarkan bunyi luar biasa dan sukar dihidupkan.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian pengguna di negeri ini yang memuat naik gambar bahan api didakwa tidak berkualiti di laman-laman sosial tempatan.

Netizen turut mendesak KPDN mengambil sampel bahan api daripada sistem bahan api kenderaan pengguna yang terjejas selain mendapatkan keterangan mekanik yang menjalankan kerja pembaikan di bengkel.

Mereka berpendapat siasatan perlu diperluaskan kepada kenderaan yang didakwa mengalami kerosakan dan tidak hanya tertumpu kepada pemeriksaan tangki simpanan di stesen minyak.

Bagaimanapun, punca sebenar masalah yang dialami pengguna masih belum dapat dipastikan termasuk sama ada mempunyai kaitan secara langsung dengan kualiti bahan api.

Terdahulu, KPDN Perlis menjalankan pemeriksaan terhadap 15 stesen minyak di negeri ini pada 5 Oktober lalu susulan penularan dakwaan petrol bercampur air di media sosial.

Pengguna yang mengalami masalah berkaitan kualiti bahan api disaran membuat aduan rasmi kepada KPDN dengan mengemukakan bukti sokongan termasuk resit pembelian petrol, gambar dan laporan pemeriksaan bengkel. – KOSMO! ONLINE

The post Aduan kualiti petrol di Perlis meningkat kepada 14 kes appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved