Aduan Makanan MRSM Berkurang Selepas Tindakan ‘Terjah’ MARA - Dr Asyraf Wajdi

LocalFamily & Parenting
11 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Aduan Makanan MRSM Berkurang Selepas Tindakan ‘Terjah’ MARA - Dr Asyraf Wajdi

Aduan berkaitan kualiti makanan di dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini dilaporkan semakin berkurangan susulan tindakan pemantauan dan penambahbaikan yang dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan mengejut menerusi pendekatan #Terjah yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu turut memberi kesan terhadap pengurusan dan penyediaan makanan di institusi pendidikan MARA.

Katanya, ketika mula diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, beliau menerima banyak maklumat daripada ibu bapa serta pelajar berhubung dakwaan kelemahan pengurusan dewan selera, termasuk isu kualiti makanan dan kes keracunan.

“Syukur Alhamdulillah, mutakhir ini sudah kurang dengar aduan mengenai kualiti makanan di dewan-dewan selera MRSM.

Baca juga:

“Selain berjaya memecahkan ‘kartel’ yang dahulu menguasai tender-tender dewan selera, #Terjah secara mengejut juga ada kesannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Menurut Asyraf Wajdi, hasil aduan yang diterima mendorong beliau melakukan pemeriksaan secara mengejut ke beberapa MRSM bagi melihat sendiri keadaan dewan selera serta kualiti makanan yang disediakan kepada pelajar.

Ujarnya, pemeriksaan tersebut mendapati sebahagian aduan yang diterima sebelum ini mempunyai asas, termasuk berkaitan tahap kebersihan dewan selera, saiz ayam dan timbangan ikan yang didakwa tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

“Pelajar sendiri berani dan selesa mengadu apa jua yang terkait dengan kualiti makanan,” katanya.

Beliau berkata, MARA turut melaksanakan transformasi terhadap proses pemilihan tender makanan serta mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak penyedia yang didapati gagal memenuhi kualiti perkhidmatan dan syarat perjanjian.

Katanya, tindakan tersebut turut berdepan cabaran apabila terdapat pihak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan MARA.

“Ada juga yang menyaman saya dan MARA, namun saya tegaskan jangan sedikitpun khuatir, bahkan kena lawan asalkan segala tindakan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang betul demi kemaslahatan anak-anak pelajar di bawah amanah MARA,” ujarnya.

Asyraf Wajdi berkata, aspek kebajikan dan keselamatan pelajar di semua institusi pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM, akan terus menjadi keutamaan.

Menurutnya, pelajar merupakan aset penting negara pada masa hadapan dan menjadi amanah yang perlu dipelihara serta diberi perhatian sewajarnya.

“Kerana mereka adalah aset penting negara masa depan dan merupakan amanah bangsa untuk dicanai dengan baik demi kemaslahatan masa depan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved