Aduan sorok stok minyak masak turun 66.15 peratus

LocalBusiness & Finance
23 Aug 2026 • 3:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aduan sorok stok minyak masak turun 66.15 peratus

PETALING JAYA: Aduan berkaitan kegiatan menyembunyikan stok minyak masak paket bersubsidi mencatat penurunan ketara sebanyak 66.15 peratus bagi tempoh Januari hingga April lalu berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, penurunan itu antara perkembangan positif hasil usaha memperkukuh pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi menerusi sistem Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan Mobile eCOSS.

Menurutnya, selain aduan berkaitan kegiatan sorok stok, aduan kurang atau tiada bekalan turut menurun sebanyak 24.47 peratus dalam tempoh sama.

“Kalau dahulu memang susah hendak mendapatkan minyak masak ini, sekarang pergi ke mana-mana pun, Insya-Allah stok lebih mudah ditemui.

“Inilah reformasi yang kita mahu rakyat rasai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fuziah berkata, aduan berkaitan penjualan bersyarat turut mencatat penurunan sebanyak 6.19 peratus, manakala aduan keengganan menjual berkurang 1.15 peratus.

Katanya, eCOSS dan Mobile eCOSS diperkenalkan bagi membolehkan pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi dilakukan secara lebih menyeluruh, daripada rantaian bekalan sehingga ke tangan pengguna.

“Mobile eCOSS turut menggunakan eKYC dan MyDigital ID untuk mengesahkan identiti pengguna. Sejak 1 Mac 2026 pula, pembelian minyak masak paket bersubsidi hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, setakat 3 Julai lalu, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan Mobile eCOSS.

“Bagi saya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka, tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh.

“Kita akan terus memperkemas pemantauan supaya minyak masak paket bersubsidi ini benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia yang berhak,” katanya.- UTUSAN

The post Aduan sorok stok minyak masak turun 66.15 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved