
PETALING JAYA – Aduan berkaitan perbuatan menyorok stok minyak masak peket bersubsidi mencatatkan penurunan sebanyak 66.15 peratus bagi tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, perkembangan itu antara hasil pemantauan pengedaran minyak masak peket bersubsidi menerusi sistem eCOSS dan Mobile eCOSS yang diperkenalkan KPDN.
Beliau berkata, selain aduan sorok stok, beberapa kategori aduan lain turut menunjukkan penurunan dalam tempoh berkenaan.
Katanya, aduan berkaitan kurang atau tiada bekalan menurun 24.47 peratus, manakala aduan penjualan bersyarat berkurangan 6.19 peratus dan aduan berkaitan keengganan menjual pula mencatatkan penurunan sebanyak 1.15 peratus.
“Bagi saya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka, tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.
Dalam pada itu Fuziah berkata, Mobile eCOSS turut menggunakan kaedah eKYC dan MyDigital ID bagi mengesahkan identiti pengguna.
“Mulai 1 Mac lalu, pembelian minyak masak paket bersubsidi hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.
“Setakat 3 Julai lalu, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan Mobile eCOSS,” katanya.
Katanya, pihaknya akan terus memperkemas pemantauan bagi memastikan minyak masak paket bersubsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang berhak.- KOSMO! ONLINE
The post Aduan sorok stok minyak masak bersubsidi turun 66.15 peratus appeared first on Kosmo Digital.






