ADUN, penduduk TTDI Jaya gesa pembangunan di Selangor dibekukan

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ADUN, penduduk TTDI Jaya gesa pembangunan di Selangor dibekukan
Masalah banjir kilat semakin buruk membimbangkan penduduk TTDI Jaya. Foto Bernama

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah, menggesa supaya dasar perancangan bandar di Selangor dinilai semula secara menyeluruh.

Mohammad Fahmi berkata, dalam masa sama dicadangkan juga agar semua pembangunan di negeri itu dibekukan sehingga isu asas jalan dan saliran diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya memahami kebimbangan yang disuarakan penduduk di TTDI Jaya kerana saya sendiri pernah memiliki sebuah rumah di kawasan tersebut.

“Kawasan ini dibangunkan lebih 20 tahun lalu dan masalah yang kita hadapi hari ini, termasuk banjir, kesesakan lalu lintas dan pengurusan sisa pepejal merupakan kesan daripada dasar perancangan yang dilaksanakan pada ketika itu," ujarnya menerusi Threads.

Kenyataan beliau dibuat susulan kebimbangan penduduk berhubung masalah banjir kilat yang semakin buruk, kesesakan lalu lintas dan penyusutan kawasan hijau di TTDI Jaya.

Mohammad Fahmi memberikan maklum balas terhadap kebimbangan yang disuarakan penduduk menerusi platform Threads berhubung pembangunan berterusan di kawasan kejiranan itu, termasuk cadangan projek pembinaan pangsapuri.

Tambah Mohammad Fahmi, secara peribadi beliau berpandangan semua pembangunan perlu dihentikan sementara pelaksanaan penelitian semula secara serius mengenai perancangan dan pembangunan bandar-bandar di Selangor untuk masa depan.

Sementara itu, seorang pengguna Threads, @sxznx, membuat hantaran yang menyatakan bahawa beliau telah menetap di Seksyen 13, TTDI Jaya, selama lebih 24 tahun dan menyaksikan berlakunya pembangunan berlebihan, perancangan bandar yang lemah dan kemudahan landskap tidak mencukupi.

Pengguna berkenaan turut merayu kepada Mohammad Fahmi yang menurutnya telah diundi pada pilihan raya lalu supaya membawa suara penduduk dan menghalang pembangunan baharu di kawasan itu, khususnya satu lagi projek pembinaan pangsapuri yang dijangka dilaksanakan.

“Kejiranan kami kini dihuni ramai warga emas dan keadaan mereka menjadi lebih sukar ketika banjir apabila mereka berisiko terperangkap di dalam rumah masing-masing. Kami tidak memerlukan lebih banyak pembangunan perumahan sehingga mengorbankan ketenteraman dan kesejahteraan hidup penduduk.

“Kesesakan lalu lintas juga semakin teruk dari hari ke hari, sehingga keadaan jalan raya berubah begitu banyak dan ibu saya sendiri sukar mengenalinya. Kini, kami mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit untuk sampai ke Lebuhraya Persekutuan,” katanya.

Beberapa pengguna Threads lain turut menyuarakan kebimbangan mengenai kepesatan pembangunan dan kesannya terhadap alam sekitar dan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Pengguna @aliamirrazali menggesa supaya pembangunan di TTDI Jaya, Bukit Jelutong dan Glenmarie dihentikan, berikutan kebimbangan berulangnya insiden yang berlaku pada 2006 serta kesan pembangunan tidak terkawal.

Manakala @whoisizwa pula berharap Mohammad Fahmi menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat di Dewan Negeri Selangor untuk membawa kebimbangan penduduk ke peringkat lebih tinggi.

“Tuan, sebagai wakil rakyat di Dewan Negeri Selangor, tuan mempunyai platform untuk menyuarakan kebimbangan penduduk.

“Kami menggesa tuan menggunakan kedudukan tersebut untuk membangkitkan isu ini, meminta supaya semua projek pembangunan dihentikan sementara dan mendesak agar perancangan bandar di kawasan ini dinilai semula,”jelasnya.

Kebimbangan penduduk itu timbul selepas hujan lebat pada 2 November lalu mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, termasuk Kampung Melayu Subang di Sungai Buloh dan TTDI Jaya di Shah Alam.

Di TTDI Jaya, peningkatan paras air di sepanjang lembangan Sungai Damansara memburukkan lagi keadaan banjir, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan mengenai keupayaan kawasan itu menampung hujan lebat ketika pembangunan bandar terus dilaksanakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved