Banjir kilat di sekitar Lembah Klang

LocalEnvironment
2 Nov 2026 • 5:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Banjir kilat di sekitar Lembah Klang

PETALING JAYA: Hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang petang ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga berlaku banjir kilat di beberapa kawasan.

Tinjauan menerusi media sosial mendapati pengguna jalan raya berkongsi rakaman dan gambar keadaan air yang semakin tinggi antaranya di Denai Alam, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bukit Jalil, USJ serta Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall, Petaling Jaya. 

Beberapa rakaman turut menunjukkan kenderaan terpaksa meredah air manakala keadaan hujan lebat menyebabkan jarak penglihatan pemandu terhad.

Di Denai Alam, pengguna Threads @iskandarsukandar berkata beberapa pengguna jalan raya terpaksa berpatah balik berikutan keadaan laluan di kawasan itu.

“Apa jadi kat Denai Alam? Semua orang patah balik lawan arus. Denai Alam banjir ke?” katanya.

Seorang lagi pengguna, @kiti.ss yang turut menandakan lokasi Denai Alam, memaklumkan pengguna jalan raya yang mahu memasuki kawasan itu dari arah Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) terpaksa berpatah balik.

“Lepas je dari lampu isyarat nak masuk Denai dari DASH ni kena patah balik ya. Hati-hati semua,” katanya.

Keadaan sama turut dilaporkan berlaku di TTDI apabila pengguna @frssya__ berkongsi gambar beberapa kenderaan meredah jalan yang dinaiki air.

Di Bukit Jalil pula, pengguna @cik_kiyut memaklumkan keadaan jalan mula dinaiki air ketika dalam perjalanan menghala ke Puchong.

“Jalan dah mula dinaiki air. Semoga dipermudahkan segala urusan semua dan selamat sampai destinasi amin. Bukit Jalil dalam perjalanan ke Puchong,” katanya.

Dalam pada itu, hujan lebat berserta angin kencang turut dilaporkan berlaku di USJ 9.

Pengguna @nasilemakanggerik berkata, keadaan angin ketika hujan lebat itu begitu kuat sehingga dapat dirasai ketika berada di dalam kenderaan.

“Hujan lebat dengan angin ribut. Duk dalam kereta rasa macam nak melambung dibuatnya. Hati-hati semua. Depan Rosyam mart, USJ 9,” katanya.

Keadaan air turut dilaporkan meningkat di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Amcorp Mall apabila pengguna @slmanfrish berkongsi rakaman kenderaan melalui laluan yang dipenuhi air.

“Lebuh Raya Persekutuan depan Amcorp Mall dah naik air,” katanya.

Sementara itu, sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Honda Jazz di hadapan sebuah rumah di Blok 5, No. 55, Acacia Park, Bandar Tasik Puteri, Batu Arang.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.39 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang tiba di lokasi 20 minit kemudian. 

“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati sebatang pokok tumbang di hadapan rumah dan menghempap kereta Honda Jazz bernombor pendaftaran WB3311X.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi yang disertai enam anggota menggunakan sebuah jentera tamat pada 4.12 petang,” katanya.- UTUSAN 

The post Banjir kilat di sekitar Lembah Klang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved