
KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mahu pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ismail Lasim terus mengekalkan kecemerlangan, di samping memperbaiki kelemahan pentadbiran pada penggal lalu.
Baginda turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diberikan mandat supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan politik dan peribadi.
Baginda bertitah, amanah yang dipikul setiap wakil rakyat amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan dan permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Justeru, setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi.
“Negeri ini memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan melantik ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Baginda dalam pada itu, menzahirkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam.
Baginda turut berharap calon-calon yang tidak berjaya pada pilihan raya itu agar terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Tuanku Muhriz menegaskan setiap amanah hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
Titah baginda, sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan bukan sahaja mencemarkan institusi yang diwakili malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.
“Beta juga ingin mengingatkan Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri untuk sentiasa menghormati dan taat setia kepada Institusi Diraja, serta melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan di samping mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” titah baginda. – UTUSAN
The post ADUN perlu utamakan kebajikan rakyat, ketepi kepentingan politik appeared first on Utusan Malaysia.






