MB, ADUN Perlu Junjung Institusi Diraja, Utamakan Kepentingan Rakyat - Tuanku Muhriz

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 5:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

MB, ADUN Perlu Junjung Institusi Diraja, Utamakan Kepentingan Rakyat - Tuanku Muhriz

SERI MENANTI -  Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu semtiasa menjunjung institusi diraja, menghormati Perlembagaan Negeri dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik mahupun kepentingan peribadi.

Menegaskan perkara itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, Menteri Besar dan semua ADUN perlu kekal taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan, di samping mengiktiraf kedudukan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan sebagai antara tonggak pemerintahan negeri.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Dalam titah sama, Tuanku Muhriz turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada semua wakil rakyat yang berjaya memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas ADUN serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atas segala khidmat dan sumbangan sepanjang penggal pentadbiran terdahulu.

Titah baginda, setiap ADUN memikul amanah besar untuk membawa suara, aspirasi serta segala permasalahan rakyat ke persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Kesetiaan dan komitmen hendaklah sentiasa diberikan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik atau kepentingan peribadi,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menekankan kepentingan kepimpinan yang berintegriti serta berpegang teguh kepada prinsip, sambil mengingatkan bahawa sebarang penyalahgunaan kuasa atau kedudukan bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat, malah memberi kesan terhadap pelaksanaan dasar demi kesejahteraan masyarakat.

Justeru, baginda bertitah setiap individu yang diberikan amanah memimpin perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Pada masa sama, Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Ismail Lasim, sambil berharap beliau dapat meneruskan kejayaan pentadbiran terdahulu serta menambah baik aspek yang masih memerlukan penambahbaikan.

Baginda turut menyeru calon yang tidak berjaya dalam PRN agar terus berkhidmat kepada rakyat dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Negeri Sembilan.

Mengakhiri titah, Tuanku Muhriz mengingatkan seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya terus memelihara keharmonian negeri yang berbilang kaum dengan menghormati kepelbagaian agama, budaya dan adat resam.

Titah baginda, sikap saling menghormati, bertoleransi serta bekerjasama dalam kalangan masyarakat akan terus menjadi asas penting dalam mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keharmonian Negeri Sembilan. - Getaran, 2 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved